Pasport diplomatik Shafee dibatalkan, kata menteri luar negara
Iklan
PASPORT diplomatik peguam kontroversi Muhammad Shafee Abdullah mdibatalkan sejak 19 September lalu, kata Kementerian Luar Negeri Malaysia.
Menteri Luar Negara Saifuddin Abdullah berkata kementeriannya membatalkan pasport Shafee pada 19 September, seminggu selepas Shafee didakwa di mahkamah.
“Kementerian luar negeri membatalkan pasport diplomatik beliau pada 19 September 2018,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.
Pasport itu diberikan kepada Shafee sejak tahun 2009 bagi membolehkan beliau mewakili Malaysia di Suruhanjaya Antarabangsa Hak Asasi Manusia Asean (AICHR).
Pada tahun 2016, peguam berusia 63 tahun diberikan sekali lagi pasport diplomatik tersebut di atas kapasiti sebagai Duta Besar untuk Hak Asasi Manusia.
“Kelayakan beliau mendapat pasport diplomatik adalah untuk menjadikannya lebih mudah untuk menjalankan tugasnya sebagai pegawai Malaysia,” kata Saifuddin.
Menteri itu memberikan jawapan balas kepada soalan ahli parlimen Labis Pang Hock Liong yang bertanya sama ada kerajaan akan membatalkan pasport Shafee.
Shafee didakwa pada 13 September lalu di atas pertuduhan pengubahan wang haram dan kesalahan cukai di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Anti-Keganasan dan Perolehan Dari Kegiatan Jenayah (AMLA) 2001.
Beliau dituduh menerima RM9.5 juta dari bekas perdana menteri Najib Razak, yang dipercayai diperolehi secara haram daripada syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Shafee memohon perbicaraan ke atas beliau bagi keempat-empat pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Akta Pembiayaan Anti Keganasan 2001. Beliau bagaimanapun dibebaskan dengan ikat jamin RM1 juta. – 29 Oktober, 2018.