Semua urusan tanah KL diserah kepada Pejabat PM, dakwa Ku Nan
Iklan
BEKAS menteri wilayah persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor mendakwa beliau tiada kena mengena dengan kontroversi penjualan tanah awam kepada pemaju swasta.
Menurutnya, beliau dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sebanyak 12 kali untuk disoal siasat walaupun urusan tanah di bawah Pejabat Perdana Menteri ketika pentadbiran Najib Razak.
“Ketika saya mengambil alih sebagai menteri pada 2013, saya serahkan masalah tanah kepada Pejabat Perdana Menteri. Saya tiada kaitan dengan kelulusan tanah di Wilayah Persekutuan.
“Saya sudah dipanggil SPRM lebih 12 kali dan saya sudah beritahu semuanya apa yang saya tahu,” kata Tengku Adnan yang merupakan Ahli Parlimen Putrajaya kepada Dewan Rakyat hari ini.
Bagaimanapun, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad berkata, majoriti urusan yang meragukan itu berlaku di bawah pemerhatian Tengku Adnan.
“Adil untuk menyatakan, kebanyakan transaksi dibuat ketika masanya. Kira-kira 70% daripadanya,” kata Khalid kepada pemberita di lobi Parlimen selepas itu.
Selain siasatan SPRM, Khalid juga berkata kementeriannya sudah memulakan siasatan dalaman dengan bantuan wakil Jabatan Peguam Negara.
Katanya antara salah laku yang dikesan adalah penjualan tanah di bawah harga pasaran, rundingan terus dan menetapkan semula zon penggunaan tanah.
“Jawatankuasa siasatan kami membangkitkan pelbagai isu. Ia menurut amalan biasa. Ini sebahagian daripada dapatannya.
“Sebagai contoh, penjualan (tanah) di bawah penilaian yang diberikan tanpa sebarang pengesahan yang betul Jualan tanah yang bukan untuk pembangunan seperti ruang terbuka dan semua itu,” kata Khalid.
Bagi mengelakkan salah laku di masa hadapan, menteri itu berkata, semua tanah di bawah kementeriannya akan digazetkan di bawah Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 bagi mengelakkan penyelewengan.
“Ini akan dibangkitkan apabila kita gazet KL2020. Kami mendapat tambahan pelanggaran yang dilakukan di mana mereka tidak mengikuti pelan induk,” kata Khalid.
Khalid berkata beliau tidak dapat mendedahkan butiran lengkap tentang skandal itu kerana ia berada di bawah bidang kuasa SPRM.
Siasatan ke atas Tengku Adnan dibuat selepas ahli Parlimen DAP Lim Lip Eng membuat laporan kepada SPRM mengenai 64 transaksi tanah yang diragui oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. – 30 Oktober, 2018