Iklan

Pemaju enggan turun harga akan kena cukai pembinaan 6%

Yasmin Ramlan6 years ago30th Oct 2018Berita
Lim guan eng be penang tmikamal 02
Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengulas isu pemaju yang enggan menurunkan harga rumah dan bangunan komersial. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Oktober, 2018.
Iklan

PEMAJU yang enggan menurunkan harga rumah dan bangunan komersial akan dikenakan cukai ke atas perkhidmatan pembinaan sebanyak 6%, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Katanya, ia merupakan langkah baharu untuk memastikan harga rumah dan unit komersial bagi projek baharu akan diturunkan sehingga 10%.

“Kami akan ambil tindakan (jika tidak patuhi). Saya pasti yang Rehda (Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia) bila beritahu dengan ahlinya, mereka akan patuhi.

“Ia berkenaan permintaan pasaran. Semua orang menurunkan harga (rumah), anda (pemaju) pula tidak menurunkan harga, macam mana rumah nak terjual?” katanya.

Jelasnya, ketetapan itu tidak meliputi rumah untuk perumahan kos rendah dan sederhana rendah yang dikategorikan sebagai harga rumah terkawal, katanya.

“Harga rumah terkawal itu agak sukar. Kita sebutkan yang bukan rumah kos rendah dan sederhana rendah.

“Yang disebut adalah harga yang lebih (tinggi) – yang bukan harga terkawal,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Katanya, langkah itu diambil bagi merangsang sektor hartanah di negara ini yang menyaksikan lambakan rumah di pasaran.

Laporan media pada Mei lalu menyebut hampir 50,000 unit rumah kediaman disiapkan pada 2017 tetapi kira-kira separuh daripadanya tidak terjual.

Lebih 70% daripadanya jumlah rumah yang siap itu berharga lebih RM250,000. – 30 Oktober, 2018.

Iklan
Iklan