Lebih 40 individu beri keterangan berhubung tragedi Bukit Kukus
Iklan
LEBIH 40 individu memberikan keterangan kepada polis Pulau Pinang susulan siasatan tragedi tanah runtuh Bukit Kukus di Paya Terubung, kata ketua polis negeri, Komisioner A. Thaiveegan hari ini.
Katanya mereka yang memberi keterangan itu termasuk kontraktor utama, subkontraktor, agensi kerajaan dan beberapa individu.
“Ada antara mereka akan dipanggil semula untuk siasatan lanjut. Kita juga akan memanggil beberapa individu lagi untuk memberi keterangan,” katanya kepada media.
Kejadian tanah runtuh pada 19 Oktober lalu di tapak pembinaan jalan mengakibatkan sembilan pekerja asing terbunuh.
Minggu lalu, Thaiveegan berkata polis telah menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat insiden itu atas jenayah kecuaian.
Pasukan khas itu diketuai oleh Ketua Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Senior Asisten Komisioner Zainol Samah.
Beberapa jawatankuasa lain turut ditubuhkan oleh pihak berkuasa untuk menyiasat kejadian itu termasuk Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja, Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan kerajaan negeri.
Kerajaan negeri menubuhkan jawatankuasa khas yang diketuai oleh Timbalan Ketua Menteri I Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang memulakan siasatan pada minggu ini. – 30 Oktober, 2018.