Bersatu tak terima pemimpin Umno bermasalah, kata Mukhriz
Iklan
BERSATU tidak akan menerima pemimpin Umno yang dipalit skandal atau rasuah, kata Timbalan Presiden Muskriz Mahathir.
Beberapa pemimpin Umno katanya mahu menyertai Bersatu, tetapi mereka perlu disaring terlebih dahulu.
“Saya dah jelaskan ada beberapa kepimpinan tertinggi yang kita tak akan pertimbangkan,” kata Mukhriz kepada pemberita di bangunan Parlimen hari ini.
Ahli Parlimen Jerlun itu berkata tidak adil untuk mengatakan semua pemimpin Umno mahu menyertai Bersatu.
“Saya perlu adil kepada mereka. Tidak, mereka tak tunjukkan minat untuk sertai,” katanya.
Mukhriz juga berkata tiada sebarang pendekatan khusus mempelawa ahli-ahli Parlimen Umno masuk Bersatu, sebaliknya undangan dibuat secara terbuka.
Jelas beliau lagi, pemimpin Umno yang menyertai Bersatu tidak melanggar demokrasi dan ia merupakan amalan biasa dalam politik.
“Saya lihat ini sebagai amalan yang tidak melanggar demokrasi. Tiada undang-undang yang menghalang ahli Parlimen tukar parti. Kalau seseorang mahu tukar parti, kita tak boleh halang,” kata Mukhriz.
Ahli Majlis Tertinggi Bersatu A Kadir Jasin mendakwa seramai 40 ahli Parlimen Umno akan menyertai parti itu dalam tempoh beberapa minggu lagi.
Bagaimanapun, Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad berkata ahli Parlimen yang berhasrat sedemikian perlu menjadi Bebas seketika terlebih dahulu sebelum diterima masuk. – 30 Oktober, 2018.