PAS gesa kerajaan pulihkan golongan LGBT
Iklan
PAS menggesa Putrajaya “memulihkan” komuniti lesbian, gay, biseksual, dan transgender (LGBT) agar mereka berada di landasan yang betul.
Timbalan presidennya Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kerajaan Pakatan Harapan mesti jelas mengenai isu itu dan menggesa komuniti LGBT dipulihkan kepada sifat asal.
“Kami menuntut kerajaan secara konsisten menolak semua pengiktirafan aktiviti LGBT tetapi menyokong sebarang usaha untuk memulihkan mereka supaya berada di landasan yang betul,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Parlimen hari ini.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata terdapat pihak yang menuntut kerajaan mengiktiraf komuniti LGBT, termasuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).
“Ada juga yang mencadangkan Malaysia menghapuskan sebarang undang-undang mengenai perbuatan seksual yang bertentangan dengan norma serta menghapuskan undang-undang mengenai transgender,” kata Tuan Ibrahim.
Beliau menambah parti Islam itu tidak menentang hak asasi manusia secara keseluruhan tetapi menentang nilai Barat yang berlawanan dengan budaya Malaysia.
“Kita perlu memahami hak asas yang diamalkan di negara ini berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, undang-undang syariah dan harus sesuai dengan kebudayaan dan amalan di sini,” kata Tuan Ibrahim.
Hak LGBT sekali lgi menjadi isu hangat selepas aktivis Numan Afifi meletak jawatan daripada pasukan media Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada Jun akibat tekanan masyarakat awam yang konservatif.
Komuniti itu juga pernah menjadi tajuk utama berita ketika potret aktivis Nisha Ayub dan Pang Khee Teik diturunkan daripada pameran fotografi di Festival George Town selepas mendapat arahan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa.
Berhubungan kejadian itu, Mujahid, yang bertanggungjawab atas hal ehwal Islam, mengatakan golongan LGBT tidak seharusnya didiskriminasi di tempat kerja.
PAS secara konsisten berpegang kepada pendirian mereka menentang golongan itu kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam. – 31 Oktober, 2018.