Harga barang turun selepas GST mansuh, kata menteri
Iklan
HARGA barangan turun selepas Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dimansuhkan, kata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna.
Menterinya, Saifuddin Nasution Ismail berkata daripada 417 barangan yang tidak dikenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), sebanyak 220 item (52.76%) mencatatkan penurunan harga, manakala 111 item (26.62%) mengalami kenaikan harga dan baki 9 lagi (2.16%) tidak berubah.
Bagi barangan yang dikenakan SST 5% pula, 36 item (8.63%) mengalami penurunan harga dan 3 item (0.72%) telah mencatatkan kenaikan harga.
Manakala bagi barangan yang dikenakan SST 10% pula, 35 item (8.39%) mengalami penurunan, hanya 1 item (0.24%) yang menunjukkan kenaikan harga manakala baki 2 item (0.48%) tidak berubah.
Lebih banyak barangan dikecualikan daripada SST berbanding GST, kata ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu.
“Pelaksanaan cukai SST hanya dikenakan di peringkat pengeluar sahaja. Bilangan barangan dan perkhidmatan yang tidak dikenakan SST juga lebih banyak iaitu 5,443 item dikecualikan (0%) jika dibandingkan dengan pengecualian yang diberikan semasa GST dilaksanakan sebanyak 545 item sahaja,” kata Saifuddin ketika membahaskan Rancangan Malaysia ke-11 di Parlimen hari ini.
Sementara itu, beliau berkata kadar inflasi negara jauh lebih tinggi semasa GST berkuatkuasa dari 2016 hingga 2017.
“Menurut laporan Bank Negara Malaysia, inflasi purata yang dicatatkan sepanjang tempoh pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) adalah lebih tinggi berbanding dengan purata sebelum GST dilaksanakan iaitu sebanyak 2.0%,” katanya.
Kadar inflasi pada Januari hingga Mei lebih rendah iaitu 1.7% sebelum berada di bawah 1% pada Jun hingga Ogos kesan daripada pelaksanaan GST berkadar sifar.
Walaupun SSt dikuatkuasakan pada September, kadar inflasi hanya pada 0.3% pada bulan yang sama, kata Saifuddin. – 31 Oktober, 2018.