Rakyat harap peluang kerja, sokongan lebih besar dalam Bajet 2019
Iklan
PUTRAJAYA perlu beri penekanan yang lebih dalam membantu kumpulan berpendapatan rendah dan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan, kata rakyat Malaysia menjelang bajet pertama kerajaan Pakatan Harapan (PH), Jumaat ini.
Dan ini termasuk pengurangan dalam cukai pendapatan bagi mereka berpendapatan di bawah RM10,000 sebulan, lebih insentif kepada mereka yang membeli rumah pertama dan terus memberikan bantuan tunai kepada golongan berpendapatan rendah.
Konsultan IT Simon Chin berharap pengurangan dalam cukai pendapatan akan berlaku untuk mengimbangi peningkatan kos sara hidup.
“Bajet tahun lalu memberi pengurangan bagi mereka yang berpendapatan kurang RM90,000 setahun. Jadi saya harap bajet PH akan mesra rakyat juga.
“Lebih pun, rakyat yang pilih kerajaan baharu ini,” katanya yang berasal dari Pulau Pinang.
Chin berkata perlu ada pertimbangan untuk rakyat Malaysia yang membeli rumah kali pertama.
Walaupun Wilson Moorthy, 51, merasakan tidak banyak gula-gula dalam bajet tahun ini, beliau berharap kerajaan akan fokus kepada kumpulan berpendapatan rendah dan “memberi lebih insentif untuk mereka”.
Ejen hartanah itu juga mahu kerajaan mengukuhkan agensi anti rasuah dan membelanjakan wang yang diperoleh semula daripada aktiviti itu untuk program yang bermanfaat kepada rakyat.
“Kerajaan juga boleh menaikkan cukai korporat untuk menambah hasil pendapatan,” katanya.
Wilson juga berharap akan ada peningkatan dalam nilai ringgit, menarik lebih ramai pelaburan asing, meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan, pendidikan dan pengangkutan awam.
Staf pengurusan bangunan KLIA Mohd Saiful Adli, 29, berkata beliau terpaksa bekerja di Kuala Lumpur kerana tidak ada pekerjaan di kampung halamannya di Terengganu.
“Di Besut, kerja yang ada hanya dalam pelancongan bot atau bot pemancing atau buat keropok,” katanya.
Saiful berharap bajet pertama PH akan menetapkan gaji minimum RM1,500 dan mereka akan terus memberikan bantuan wang tunai kepada golongan berpendapatan rendah.
“Gaji kami tidak cukup,” katanya yang mempunyai empat anak.
Ketua Pelancongan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur Ikhwan Al-Rashid Abd Rahman berharap kerajaan baharu akan memperkenalkan elaun cukai untuk inisiatif hijau.
“Pada masa ini, ada elaun cukai untuk projek pelancongan. Tetapi lebih baik jika ada elaun cukai pelaburan khas untuk pembangunan hijau.
“Kerajaan juga boleh memperkenalkan kredit karbon untuk operator ekopelancongan untuk mempromosikan lebih nilai mesra alam sekitar,” katanya.
Di Sarawak, peguam Francis Teron, 40, mahu kerajaan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dan membantu pasangan baru berkahwin memiliki rumah mampu milik.
“Kerajaan juga perlu menetapkan harga minimum untuk komoditi bagi membantu pemegang saham (di bawah 20 ekar).”
Selain itu katanya, peruntukan yang lebih juga diperlukan untuk sekolah dan hospital di Sabah dan Sarawak.
Pemaju, JH Lok berkata kerajaan perlu mengkaji pinjaman generasi bagi membantu kumpulan berpendapatan rendah membeli rumah mereka dan membanteras spekulasi hartanah, bukannya menggunakan cukai seperti Cukai Keuntungan Hartanah.
“Banyak projek bangunan tinggi sudah dalam tempoh pembinaan 48 bulan, memberikan spekulator hartanah perlu setahun saja untuk bayaran faedah bagi mengelak membayar RPGT.
Katanya, Singapura mempunyai alat lebih berkesan untuk membanteras spekulasi dengan mengenakan levi jualan terhadap harga pelupusan, bukannya keuntungan saja.
Lok berkata langkah sedia ada menyatukan pelbagai rumah mampu milik, subsidi bagi pembeli rumah pertama, pengecualian cukai 50% daripada sewa di bawah RM2,000 sebulan, kurang berkesan kerana ramai pembeli rumah kali pertama daripada kumpulan B40 tidak layak mendapat pinjaman sendiri.
“Pinjaman generasi, dengan hanya membenarkan lanjutan pinjaman kepada 60 tahun (dibayar oleh dua generasi) akan mengurangkan harga bayaran bulanan, lebih memudahkan untuk kumpulan B40 layak mendapat pinjaman,” katanya. – 1 November, 2018.