Lebih 375,000 peminjam PTPTN tak pernah bayar hutang
Iklan
375,976 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak pernah membayar langsung hutang mereka yang sehingga kini berjumlah RM2.74 bilion, kata Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching.
“Seramai 375,976 peminjam atau 19.65% tidak pernah membuat sebarang bayaran yang berjumlah RM2.74 bilion,” katanya kepada Dewan Rakyat hari ini.
Kerajaan bagaimanapun mengutip semula pinjaman daripada 1.5 peminjam (68.62%) yang berjumlah RM13.86 bilion, katanya lagi.
Setakat September 2018, PTPTN sudah membiayai 2,963,345 pelajar pengajian tinggi dengan belanja mencecah RM54.37 bilion.
Kata Teo lagi, PTPTN dijangka membelanjakan RM15 bilion lagi untuk 2019 hingga 2023 dengan kos RM3 bilion setahun.
Teo yang juga ahli Parlimen Kulai itu berkata rakyat Malaysia tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada PTPTN tetapi menyimpan di bawah Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).
“Ibu bapa perlu membuat perancangan kewangan dengan menyimpan untuk pendidikan. Mereka boleh menyimpan di bawah SSPN melalui PTPTN.
“Ini adalah tawaran yang baik oleh kerajaan dahulu….anda simpan RM500, anda dapat RM500 lagi,” katanya.
Teo berkata kerajaan juga memberikan 500,000 unit simpanan tetapi hanya 150,000 yang diambil.
Katanya, ibu bapa yang menyimpan di bawah skim itu juga akan mendapat pengecualian sukai sehingga RM6000 untuk setiap ibu atau bapa sehingga tahun 2020.
Timbalan menteri itu menambah yang beliau akan mengadakan perbincangan dengan menteri kewangan untuk meningkatkan had pengecualian cukai bagi menggalakkan ibu bapa menyimpan.
“Kami akan berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk dapatkan kelulusan meningkatkan pengecualian cukai atau meningkatkan tempoh tahun,” katanya. – 1 November, 2018.