KLCP 2020 tak digazet kerana harga tanah akan jatuh, kata bekas menteri
Iklan
Bekas menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor berkata kerajaan Barisan Nasional tidak mahu mengazetkan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 (KLCP 2020) kerana ia boleh menyebabkan kejatuhan harga tanah.
Katanya, kajian yang dilakukan untuk pelan itu sudah lama dan ia akan merugikan rakyat sekiranya pelan itu digazetkan sekarang.
“Kajian itu dibuat sudah lama dulu. Sudah tentu ada kawasan yang nisbah plot dan kepadatan perlu diubah.
“Ini (tanah) milik rakyat. Jika semua ini tidak dihiraukan, harga tanah akan turun,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Ahli Parlimen Putrajaya itu juga berkata salah satu sebab lagi beliau tidak bersetuju pelan itu digazetkan kerana drafnya mempunyai klausa yang membenarkan menteri atau datuk bandar semasa meminda pelan itu sekiranya perlu.
“Saya tak setuju untuk tandatangan kerana dua perkara, pertama kerana menteri atau datuk bandar boleh pinda. Saya sudah minta ia dikeluarkan supaya tidak ada lagi kerja belakang tabir,” katanya.
KLCP 2020 digazetkan Selasa lalu.
Menteri sekarang, Khalid Samad bagaimanapun tidak bersetuju dan menegaskan pelan itu perlu digazetkan untuk memastikan ketelusan wujud.
“Proses (pindaan) akan jadi lebih sukar dan ia akan jadi lebih telus. Jika pelan tidak digazetkan, semua boleh buat dan awak boleh buat sesuka hati,” katanya menjawab kenyataan Tengku Adnan.
Wakil rakyat daripada Amanah itu menambah kerajaan semasa tidak boleh disalahkan untuk kajian yang didakwa dibuat pada 2008 itu.
“Kajian itu bukan salah saya. Awak perlu tanya orang sebelum ini. Ia dilakukan pada 2008 dan sehingga sekarang tak pernah digazetkan,” kata Khalid.
Draf KLCP disiapkan pada 2008 ketika Zulhasnan Rafique menjadi menteri wilayah. Tengku Adnan menggantikan Zulhasnan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 pada 2013. – 1 November, 2018.