Pulau Pinang letak harapan tinggi pada bajet pertama Pakatan
Iklan
SEJAK 10 tahun lalu, Pulau Pinang menganggap dirinya “anak tiri” kerajaan persekutuan Barisan Nasional (BN), diketepikan dalam pembangunan kerana perbezaan politik.
Kini, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo berharap bajet pertama Pakatan Harapan akan memberi berita baik kepada negeri di utara itu.
“Kami diketepikan selama ini. Kami kini meminta diberi keutamaan dalam Bajet 2019,” katanya di pejabatnya di Komtar pagi ini.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng, yang dijadualkan membentangkan Bajet 2019 esok petang di Dewan Rakyat, adalah ketua menteri Pulau Pinang dari 2008 hingga pilihan raya umum 9 Mei, yang menyaksikan BN kehilangan kuasa.
Rumah mampu milik persekutuan
Termasuk dalam senarai harapan Jagdeep untuk Budget 2019 adalah beberapa permintaan yang pernah dibuatnya kepada kerajaan persekutuan tetapi tidak pernah diterima.
Katanya, Pulau Pinang memerlukan lebih banyak unit perumahan mampu milik yang selama ini gagal dilakukan oleh kerajaan BN, walaupun memperkenalkan Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Program Perumahan Awam 1Malaysia (PPA1M).
Sendirian, dan dengan perkongsian pemaju swasta, Pulau Pinang membina 28,195 rumah kos rendah, sederhana rendah dan rumah mampu milik sejak 2008.
Sebanyak 22,065 juga sedang dibina, dan 32,212 unit lagi dalam perancangan.
“Diharapkan Pulau Pinang diberi keutamaan dalam Bajet 2019, dengan peruntukan untuk perumahan mampu milik di bawah program persekutuan berkenaan,” kata Jagdeep.
Beliau juga berharap Pulau Pinang akan diberi keutamaan bagi projek perumahan rakyat (PPR) - perumahan kerajaan untuk golongan miskin - memandangkan negeri itu mempunyai bilangan unit PPR paling sedikit di negara ini.
Beliau berkata kerajaan negeri sudah mengenal pasti 25.27 hektar tanah di 10 lot untuk projek PPR, seperti yang diminta oleh Kementerian Perumahan sekarang.
Buat masa ini, Pulau Pinang hanya mempunyai 999 unit PPR daripada jumlah 110,000 unit di seluruh negara. – 1 November, 2018.