Iklan

Tidak perlu rombak Kabinet, kata Daim

Kamles Kumar6 years ago1st Nov 2018Berita
Daim zainuddin cep 200818 tmiseth 04
Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Daim Zainuddin mempunyai keyakinan kepada para menteri baharu menjalankan tugas dan menggesa mereka diberi peluang membuktikannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 November, 2018.
Iklan

BARISAN Kabinet Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad perlu diberi lebih banyak masa untuk mentadbir kerana kebanyakan mereka tidak mempunyai pengalaman, kata Daim Zainuddin.

Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan itu berkata, kebanyakan menteri yang ada bijak tetapi tidak pernah berada di dalam kerajaan sebelum ini.

“Apa yang penting sekarang ialah membiarkan mereka. Mereka pintar. Tetapi, mereka tidak mempunyai pengalaman, jadi berikan mereka masa,” kata Daim dalam temu bual dengan Astro Awani malam ini.

Bekas menteri kewangan itu menambah para menteri perlu diberi masa untuk belajar.

“Kabinet baru berusia enam bulan. Beri mereka peluang. Jangan ganggu mereka. Berikan mereka sedikit masa, mungkin setahun,” kata Daim.

Beliau berkata menteri yang ada perlu bekerja dengan kakitangan awam dan mendapat kepercayaan mereka yang menjadi kunci untuk melaksanakan dasar-dasar baharu kerajaan Pakatan Harapan yang ingin diperkenalkan.

“Kami berharap para menteri baharu tidak akan mempolitikkan jawatan. Adalah menjadi tanggungjawab kakitangan kerajaan untuk melaksanakan dasar. Jika anda mengganggu mereka, mereka akan mensabotaj anda.

“Ia memerlukan kepercayaan. Sekarang kita perlu berjumpa dengan mereka, berbincang dan mendapatkan kepercayaan mereka. Ini adalah kerajaan baharu yang tidak seperti sebelumnya,” kata Daim.

Dr Mahathir sebelum ini berkata beliau kecewa dengan prestasi menteri Kabinet selepas beberapa bulan bertugas.

Pemimpin berumur 93 tahun itu juga berkata terdapat kakitangan awam yang setia kepada pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini dan mahu mensabotaj kerajaan baharu. – 1 November, 2018.

Iklan
Iklan