Iklan

Guan Eng menang saman fitnah terhadap NST

Looi Sue-Chern6 years ago2nd Nov 2018Berita
Parliament lim guan eng 221018 tmiseth 05
Menteri Kewangan Lim Guan Eng memfailkan saman terhadap NST susulan penerbitan satu artikel tahun lalu yang menuduhnya mencampuri hal ehwal Islam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 November, 2018.
Iklan

AKHBAR The New Straits Times (NST) hari ini memohon maaf kepada bekas ketua menteri Lim Guan Eng di mahkamah, susulan penerbitan satu artikel tahun lalu yang menuduhnya mencampuri hal ehwal Islam.

Lim memfailkan saman fitnah terhadap NST berhubung satu artikel bertajuk “Political intervention was real, says PAS — Guan Eng had hand in non-renewal of mufti’s contract” yang disiarkan di edisi Ahad akhbar itu, New Sunday Times pada 5 Februari, 2017.

Artikel itu memetik Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang Afnan Hamimi Taib Azamudden sebagai berkata Lim terbabit dalam membuat keputusan untuk tidak memperbaharui kontrak mufti negeri Hassan Ahmad pada 2014.

Pemimpin PAS itu menerusi posting di Facebook mendakwa Hassan digugurkan kerana beliau menguatkuasakan undang-undang yang melarang bukan Islam menggunakan kalimah “Allah” dan 39 perkataan lain yang dianggap eksklusif kepada umat Islam.

Dalam satu kenyataan dibacakan oleh peguam Simon Murali yang mewakili Lim di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang Rosilah Yop hari ini, ketua pengarang NST mengakui artikel itu bersifat fitnah terhadap Lim, yang kini menteri kewangan.

“Maka dengan itu kami meminta maaf tanpa syarat kepada YB Tuan Lim Guan Eng atas penerbitan artikel berkenaan dan melahirkan kekesalan kami atas kesukaran yang terpaksa dilaluinya akibat artikel itu,” kata kenyataan berkenaan.

Murali turut menyebut peguam mewakili NST ialah Sufian TH Liew and Partners. Tiada peguam bela hadir di mahkamah pagi ini bagi penghakiman bersama itu.

Rosilah memerintahkan NST membayar Lim sebanyak RM200,000 sebagai ganti rugi dan menerbitkan permohonan maaf itu di muka tiga edisi Ahad akhbar itu bersama gambar Lim, dalam tempoh 14 hari dari tarikh penghakiman itu. – 2 November, 2018.

Iklan
Iklan