Iklan

LANGSUNG: Pakatan bentang bajet negara kali pertama

The Malaysian Insight6 years ago2nd Nov 2018Berita
lim guan eng_bajet 2019
Menteri Kewangan Lim Guan Eng membentangkan Belanjawan 2019, bajet pertama negara di bawah pentadbiran baharu Pakatan Harapan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 2 November, 2018.
Iklan

BELANJAWAN 2019 menjadi bajet negara pertama yang dibentangkan di bawah kerajaan baharu selepas enam dekad berada di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN). 

Bajet pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dibentangkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng di Dewan Rakyat ketika negara berdepan cabaran mengendalikan hutang negara sebesar RM1 trilion dan pendapatan berkurangan selepas penggantian cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kepada cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Lim mengumumkan sejumlah RM314.5 bil diperuntukkan untuk Belanjawan 2019, lebih besar berbanding RM290.4 bilion disediakan kerajaan BN bagi 2018 walau negara kini berdepan hutang besar.

RM259.8 bilion adalah bagi Perbelanjaan Mengurus, dan RM54.7 bilion lagi adalah untuk Perbelanjaan Pembangunan; tidak termasuk Simpanan Luar Jangka berjumlah RM2 bilion.

The Malaysian Insight membawakan kepada anda apa yang menarik dalam bajet kali ini secara langsung dari Dewan Rakyat:

  • Lim menamatkan ucapannya dengan menyebut usaha dijalankan kerajaan bagi menyelesaikan skandal kewangan 1MDB dan membawa individu terbabit ke muka pengadilan.
  • “Bagi penyangak yang mencuri wang rakyat, pulangkanlah wang… Bagi mereka yang masih menyokong penyangak ini, mohonlah maaf dan letak jawatan dari jawatan awam… ” katanya.
  • Dalam celahan semasa Lim menggulung ucapannya, ahli Parlimen pembangkang melaungkan bahawa kandungan belanjawan ini hanya meniru belanjawan BN.
  • “Copy paste,” laung ahli Parlimen berkenaan, yang disahut, “Lain kali buat lebih baik” oleh seorang lagi ahli Parlimen pembangkang.
  • Lim ucap tahniah kepada Kerajaan Jepun kerana memberi pinjaman kepada Malaysia melalui bon bernilai 200 bilion Yen (RM7.4 bilion).
  • Kerajaan mencadangkan bayaran khas sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 54 dan ke bawah. Bayaran khas sebanyak RM250 juga akan diberi kepada pesara kerajaan. Jumlah bayaran khas ini melibatkan kos RM1 bilion. Bayaran ini akan diberikan sebelum akhir 2018. 
  • Kerajaan akan memperuntukkan RM286.8 juta untuk perbelanjaan mengurus Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), iaitu peningkatan 18.5% daripada RM242.1 juta yang diperuntukkan tahun lepas.
  • RM47 juta untuk R&D bagi meningkatkan produktiviti benih, bijirin dan buah-buahan, RM18 juta untuk automasi industri agromakanan, RM52 juta untuk pelaksanaan program keusahawanan dan latihan industri tani.
  • Kerajaan akan menyediakan Insentif Pengeluaran Getah dengan peruntukan sebanyak RM50 juta bagi membantu mengurangkan kesan kejatuhan harga getah kepada pekebun kecil. 
  • Pekebun kecil akan menerima sokongan pendapatan daripada IPG jika harga getah jatuh bawah RM2.20
  • Kerajaan menyasarkan penggunaan teknologi Cuplump Modified Bitumen (CMB) terutamanya untuk pembinaan jalan raya di kawasan pelabuhan dan perindustrian secara berperingkat. Untuk tujuan ini, sebanyak RM100 juta diperuntukkan.
  • RM30 juta bagi membantu semua pekebun kecil kelapa sawit mendapatkan pengiktirafan persijilan Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO).
  • Permodalan Usahawan Nasional Berhad sediakan peruntukan RM200 juta bagi industri pemborongan dan peruncitan serta pembelian premis perniagaan untuk disewa kepada PKS Bumiputera.
  • RM100 juta akan diperuntukkan kepada Tekun untuk membiayai usahawan kecil.
  • RM20 juta untuk pelancaran kempen “Beli Barangan Malaysia” untuk menyokong produk dan perkhidmatan tempatan.
  • RM10 juta untuk membangun dan menggalakkan “E-Sports”, sebagai sebuah aktiviti dan industri yang diminati generasi muda, melibatkan jurutera perisian dan pemaju permainan digital.
  • RM100 juta diperuntukkan sebagai persediaan atlet ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo dengan matlamat membawa pulang pingat emas Olimpik pertama negara.
  • Sebanyak RM70 juta untuk Program Sekolah Kepimpinan Masa Depan Malaysia (MFLS) yang melibatkan 70,000 belia berumur 15 hingga 30 tahun.
  • Kerajaan akan teruskan Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (Fimi) dengan peruntukan RM30 juta. Selain itu, Khazanah akan menyediakan peruntukan RM100 juta untuk Fimi yang khusus bagi penerbitan filem di studio Pinewood, Iskandar Johor.
  • Sebanyak RM1.2 bilion diperuntukkan bagi kemajuan Islam.
  • Sejumlah RM150 juta disediakan bagi melaksanakan program termasuk pembinaan masjid dan surau di seluruh negara, inisiatif “Khaira Ummah” untuk melahirkan lebih ramai profesional dalam kalangan huffaz dan modul pembelajaran agama dengan penggunaan braille.
  • Peminjam PTPTN dapat bayar balik dengan potongan gaji berjadual antara 2% hingga 15% daripada pendapatan bulanan untuk peminjam berpendapatan melebihi RM1,000 sebulan.
  • Layanan pelepasan cukai pendapatan individu bagi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM8,000
  • Potongan bayaran pinjaman kepada pelajar daripada isi rumah B40 yang mendapat keputusan kelas pertama.
  • Kerajaan hapus kira baki hutang kepada peminjam yang berusia 60 tahun dan ke atas dan berpendapatan kurang daripada RM4,000 sebulan, yang memanfaatkan 350 peminjam dengan kos RM4.2 juta.Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng dalam Dewan Rakyat sebelum pembentangan Belanjawan 2019 hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 2 November, 2018.
  • Kementerian Pendidikan adalah penerima peruntukan terbesar berjumlah RM60.2 bilion atau 19.1% daripada keseluruhan perbelanjaan Kerajaan tahun 2019. 
  • Peruntukan bagi bantuan pendidikan berjumlah RM2.9 bilion untuk membantu golongan yang miskin melalui bekalan makanan, buku teks dan bantuan tunai.
  • Kerajaan akan membekukan kenaikan tol untuk semua lebuh raya dalam bandar pada 2019, melibatkan kos implikasi RM700 juta.
  • Tol motosikal di Jambatan Pertama dan Kedua Pulau Pinang serta Laluan Pertama dan Kedua ke Singapura juga dimansuhkan.
  • Kerajaan bercadang untuk memperkenalkan duti eksais mulai 1 April 2019 pada kadar 40 sen per liter ke atas dua kategori minuman bergula dikilangkan dalam bentuk pembungkusan yang sedia diminum.
  • Dua kategori tersebut adalah air minuman yang mengandungi gula tambahan atau bahan pemanis lain yang mengandungi gula melebihi 5 gram per 100 ml dan jus buah dan sayuran yang mengandungi gula melebihi 12 gram per 100 ml.
  • Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) bersetuju mengurangkan sebanyak 10% harga rumah yang tidak tertakluk kepada kawalan harga untuk projek baharu. 
  • Bagi memastikan kesejahteraan penjawat awam terutamanya polis, tentera dan guru, RM400 juta untuk penyelenggaraan dan membaik pulih kuarters kerajaan yang dikenal pasti.
  • Kerajaan juga menyediakan RM240 juta bagi kad pengangkutan awam tanpa had bernilai RM100 dan perjalanan.
  • Pas bulanan bernilai RM50 RapidKL juga akan disediakan kepada perkhidmatan lain secara berperingkat.
  • Kerajaan akan memperuntukkan hampir RM29 bilion untuk perkhidmatan kesihatan yang merupakan peningkatan sebanyak 7.8% berbanding tahun lepas.
  • Antara lain, ia bagi memperkenalkan Skim Perlindungan Kesihatan (PEKA) dengan projek perintis pelaksanaan saringan kesihatan bagi golongan B40 berumur 50 tahun ke atas melibatkan 800,000 orang. Peruntukan sebanyak RM100 juta disediakan.
  • Program saringan percuma pengesanan kanser payudara (mamogram), program vaksinasi HPV dan ujian saringan Pap Smear di hospital dan klinik kerajaan dengan peruntukan sebanyak RM20 juta.
  • Sebanyak RM50 juta lagi diperuntukkan untuk rawatan penyakit jarang jumpa, rawatan virus Hepatitis C, program menangani masalah pertumbuhan bantut di kalangan kanak-kanak, menyediakan saringan dan peluasan rawatan haemodialisis serta Enhanced Primary Healthcare (EnPHC).
  • Kerajaan akan peruntukkan hampir RM29 bilion untuk perkhidmatan kesihatan yang merupakan peningkatan 7.8% berbanding tahun lepas.
  • Kerajaan akan perkenalkan Dana Perlindungan Kesihatan Nasional B40 melalui usaha sama dengan syarikat insurans swasta. Ia menyediakan perlindungan percuma ke atas empat penyakit kritikal utama sehingga RM8,000 dan maksimum 14 hari pendapatan gantian semasa rawatan hospital pada kadar RM50 sehari atau bersamaan RM700 setahun. Ia diberikan secara percuma kepada golongan B40. Firma Great Eastern Life sumbang dana permulaan RM2 bilion.
  • Kerajaan akan bantu rakyat yang kehilangan pekerjaan dengan melaksanakan sepenuhnya Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) mulai 1 Januari, 2019.
  • Undang-undang buruh bagi memperkasakan pasaran buruh, kebajikan pekerja dan melarang sama sekali amalan diskriminasi oleh pihak majikan akan dikaji semula.
  • Untuk mengurangkan jurang pendapatan, syarikat tersenarai akan diwajibkan memaparkan maklumat dalam laporan tahunan mengenai nisbah gaji tertinggi dan gaji median serta nisbah bayaran gaji tertinggi dan gaji terendah.
  • Kerajaan mencadangkan kenaikan gaji minimum kepada RM1,100 di seluruh Malaysia mulai 1 Januari, 2019.
  • Kerajaan memperuntukkan RM10 juta setahun untuk memanjangkan kemudahan perubatan kepada ibu bapa pegawai lantikan kontrak.
  • Bagi menggalakkan peluang pekerjaan bagi rakyat Malaysia berumur 60 ke atas, kerajaan mencadangkan caruman mandatori KWSP bagi majikan dikurangkan daripada 6% kepada 4%.Belanjawan Kerajaan Pakatan Harapan dibentangkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini. Antara yang menarik perhatian termasuklah Bantuan Sara Hidup untuk B40 yang diteruskan dengan tambah baik bersasar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 2 November, 2018.
  • Kerajaan juga akan beri bantuan tunai one off RM500 kepada penerima pencen yang layak.
  • Bagi memastikan bekas banduan tidak ketinggalan dalam arus pembangunan serta dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, potongan cukai tambahan diberi kepada syarikat yang menggaji pekerja dalam kategori ini.
  • Kerajaan akan melaksanakan dua program yang dibiayai melalui dana Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) supaya anak muda boleh bekerja. Ia melibatkan Apprenticeship dan Graduate Enhancement Programme For Employability (Generate).
  • Bagi menstabilkan bekalan dan menyeragamkan harga barangan keperluan asas, terutama di Sabah dan Sarawak, kerajaan memperuntukkan RM150 juta. Ia termasuk tepung gandum, gula bertapis dan minyak masak paket 1kg, beras tempatan 15% hancur pek 10kg, Petrol RON95, diesel dan LPG.
  • Kerajaan beri subsidi petrol RON95 sebanyak 30 sen seliter terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta atau 40 liter bagi motosikal. Subsidi minyak secara bersasar kepada pihak memiliki sebuah kereta berkapasiti enjin 1,500cc dan ke bawah atau motosikal enjin 125cc dan ke bawah. RM2 bilion diperuntukkan dan dijangka dapat memanfaatkan 4 juta pemilik kereta dan 2.6 juta pemilik motosikal.
  • Subsidi bil elektrik bulanan hanya dikhususkan kepada golongan miskin dan miskin tegar yang berdaftar dengan memanfaatkan 185,000 akaun. Peruntukan disediakan sebanyak RM80 juta.
  • Dianggarkan sebanyak 4.1 juta isi rumah akan terus menerima bantuan kewangan daripada kerajaan dengan peruntukan RM5 bilion.
  • Kerajaan akan menyediakan geran padanan RM40 setiap bulan sebagai insentif kepada suami penyayang yang mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) i-SURI. Melalui skim ini, dengan kadar minimum RM5 sebulan dicarum kepada simpanan persaraan isteri. Sebanyak RM45 juta diperuntukkan.
  • Kerajaan akan memperkenalkan kadar tambahan BSH sebanyak RM120 untuk setiap anak berumur 18 tahun ke bawah terhad kepada 4 orang, kecuali anak OKU yang tidak dihadkan umur mereka.
  • Cukai untuk perniagaan perjudian dinaikkan. Lesen kasino akan dinaikkan dari RM120 juta ke RM150 juta setiap tahun; duti casino akan dinaikkan kepada 35% ke atas pendapatan kasar. Lesen mesin dealer akan dinaikkan dari RM10,000 to RM50,000 setiap tahun,duti mesin judi akan dinaikkan daripada 20% ke 30% ke atas kutipan kasar. Special draw akan dikurangkan 50%.
  • Kerajaan akan meneruskan dan menambah baik Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada B40 dengan memberikan bantuan secara lebih bersasar.
  • Isi rumah berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah akan menerima bantuan berjumlah RM1,000.
  • Isi rumah berpendapatan bulanan dari RM2,001 hingga RM3,000 ke bawah akan menerima bantuan berjumlah RM750.
  • Isi rumah berpendapatan bulanan dari RM3,001 hingga RM4,000 akan menerima bantuan RM500.
  • Kadar duti setem bagi pemindahan hartanah bernilai lebih RM1 juta akan dinaikkan sebanyak 1 mata peratusan daripada kadar cukai 3% kepada 4%.
  • Bagi syarikat, individu bukan warganegara dan bukan pemastautin tetap, kadar CKHT dinaikkan daripada 5% kepada 10%; bagi individu warganegara dan penduduk tetap, kadar CKHT dinaikkan daripada 0% kepada 5%.
  • Kerajaan akan memperkemas Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) ke atas keuntungan daripada pelupusan harta tanah dan saham dalam syarikat hartanah.
  • Semua penumpang ke luar negara melalui lapangan terbang akan dikenakan levi pelepasan – RM20 untuk ke negara Asean dan RM40 untuk ke negara lain, berkuat kuasa 1 Jun tahun depan.
  • Setelah berjaya melancarkan sistem SST, Kastam akan meningkatkan penguatkuasaan ke atas penyeludupan rokok.
  • Kerajaan berharap untuk mendapatkan semula sekurang-kurangnya RM1 bilion daripada usaha membanteras aktiviti penyeludupan dan penipuan, yang sebelum ini tidak dapat dikutip.
  • Kerajaan akan melancarkan Program Khas Pengakuan Sukarela (Special Voluntary Disclosure Program) untuk memberi peluang kepada pembayar cukai mengisytiharkan secara sukarela sebarang pendapatan yang tidak dilaporkan. Pembangkang kemudian mencelah, “Banglo macam mana?”
  • LHDN akan teliti dan siasat sebarang harta kekayaan luar biasa yang ditunjukkan melalui pemilikan barang-barang mewah seperti barang kemas, jam tangan, beg tangan, kereta mewah atau hartanah.
  • Bagi perkhidmatan atas talian yang diimport oleh pengguna, penyedia perkhidmatan asing akan dikehendaki berdaftar dengan kastam, mengenakan dan meremit cukai perkhidmatan yang berkaitan berkuat kuasa mulai 1 Januari, 2020.
  • Kerajaan akan memperkenalkan sistem kredit untuk potongan cukai jualan mulai 1 Januari, 2019.
  • Sistem kredit akan juga mengelak percukaian berganda dan menurunkan kos perniagaan. Perkhidmatan yang diimport akan dikenakan Cukai Perkhidmatan.
  • Kerajaan akan perkenalkan sistem kredit untuk potongan cukai jualan mulai 1 Januari, 2019. Sistem kredit akan juga mengelak percukaian berganda dan menurunkan kos perniagaan.
  • Berdasarkan kajian awal Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, 70% atau 291 daripada 417 barang dan perkhidmatan yang diperiksa, didapati terdapat penurunan harga pada September 2018.
  • Di bawah GST, bagi barangan, hanya 545 item dikenakan pada kadar sifar manakala di bawah SST, hampir sepuluh kali ganda item dikecualikan daripada Cukai Jualan.
  • Amanah Pelaburan Hartanah bagi Lapangan Terbang atau Airport Real Estate Investment Trust (REIT) akan diwujudkan. Melalui inisiatif ini, kerajaan berharap dapat meraih dana RM4 bilion daripada penjualan 30% ekuiti REIT.
  • Kerajaan akan jual tanah secara berjadual dan berperingkat kepada pembida tertinggi tertakluk kepada syarat tanah bagi memaksimumkan hasil.
  • Bagi 2019, hutang rasmi Kerajaan Persekutuan sebagai peratusan kepada KDNK dijangka mencatat 51.8% manakala jumlah liabiliti berkurang kepada 73.5%.
  • Kerajaan berjaya memiliki semula kapal layar super mewah, Equanimity dan akan mula menerima bidaan antarabangsa dalam tempoh sebulan dari 5 November, 2018.
  • 1MDB dan Kerajaan Malaysia tidak akan membayar baki AS$4.32 bilion kepada IPIC dan Aabar dan sebaliknya akan menuntut pemulangan AS$1.46 bilion yang telah dibayar.
  • Kerajaan akan mengambil segala tindakan untuk mendapat segala dana yang hilang atau dicuri daripada 1MDB.
  • Projek Landasan Berkembar Lembah Klang 2 bernilai RM5.2 bilion akan ditender semula melalui tender terbuka dan dijangka akan memberi penjimatan kos yang besar.
  • Bagi projek MRT2 yang diuruskan oleh MRT Corp pula, Kerajaan telah berjaya menurunkan kos kontrak pembinaan sebanyak RM8.8 bilion daripada RM39.3 bilion kepada RM30.5 bilion, iaitu penjimatan sebanyak 22.4%.
  • Kerajaan berjaya mengurangkan kos keseluruhan projek LRT3 daripada RM31.6 bilion kepada hanya RM16.6 bilion.
  • Penangguhan pelaksanaan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur – Singapura menelan belanja sekurang-kurangnya RM110 bilion.
  • Kerajaan membatalkan projek MRT3 yang bernilai RM60 bilion sehingga projek MRT2 disiapkan.
  • Kerajaan membatalkan projek Multi-Product Pipeline dan Trans-Sabah Pipeline berjumlah RM15 bilion. Selain itu, kerja pembinaan ECRL berjumlah RM81 bilion digantung dan kini kosnya sedang dirunding semula.
  • Kerajaan wujudkan Pejabat Pengurusan Hutang yang bertanggungjawab untuk menyemak dan menguruskan hutang dan liabiliti kerajaan.
  • Pentadbiran PH akan laksana langkah konsolidasi fiskal untuk mengurangkan defisit kepada 3.4% daripada KDNK pada 2019, 3% pada 2020 dan 2.8% pada 2021.
  • Kerajaan berhasrat untuk membentangkan Akta Perolehan Kerajaan pada tahun depan untuk mengawal selia proses perolehan bagi memastikan ketelusan.
  • Kerajaan mengunjurkan KDNK akan terus berkembang 4.9% pada 2019 walaupun dalam persekitaran ekonomi global yang tidak menentu.
  • Kerajaan akan bentangkan Akta Kebertanggungjawaban Fiskal pada 2021 untuk mengelak perbelanjaan yang tidak terkawal dan menyebabkan hutang yang maha besar.
  • Kerajaan Persekutuan telah menstrukturkan semula pendekatan belanjawan melalui Zero-Based Budgeting iaitu sistem belanjawan berasaskan sifar belanjawan.
  • Kerajaan akan memperkenalkan dua undang-undang baru bagi mereformasi institusi pengurusan kewangan negara.
  • Akta Perolehan Kerajaan akan digubal untuk mengawal selia proses perolehan bagi memastikan ketelusan, yang akan dibentangkan tahun depan.
  • Akta Kebertanggungjawaban Fiskal pula akan diperkenalkan pada 2021 untuk mengelak perbelanjaan tidak terkawal dan menyebabkan hutang yang luar biasa.
  • Negara mungkin perlu membayar sehingga RM43.9 bilion lagi bagi menyelesaikan hutang 1MDB ini.
  • Sehingga 31 Mei 2018, jumlah tunggakan bayaran balik adalah RM35.4 bilion, di mana tunggakan GST adalah sebanyak RM19.4 bilion sementara tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM16 bilion.
  • Sehingga 15 Oktober 2018, rizab antarabangsa berjumlah USD102.8 bilion atau RM426 bilion, mencukupi untuk menampung 7.4 bulan import tertangguh. Kadar inflasi kekal rendah pada 1.2% bagi tempoh Januari sehingga September 2018.
  • Hutang dan liabiliti sebenar Kerajaan sehingga akhir Jun 2018 adalah RM1,065 bilion. Ini merangkumi RM725.2 bilion hutang langsung kerajaan Persekutuan, RM155.8 bilion komitmen luar jangka dan RM184.9 bilion liabiliti lain termasuk bayaran pajakan bagi projek Kerjasama Awam Swasta (PPP).
  • Belanjawan 2019 tumpukan tiga fokus – reformasi institusi, kesejahteraan rakyat dan memupuk budaya keusahawanan. Kerajaan juga guna 12 strategi utama untuk kembalikan kedudukan ekonomi Malaysia menjadi harimau Asia.
  • Menteri Kewangan Lim Guan Eng memulakan pembentangannya dengan berkata kerajaan PH mewarisi pentadbiran yang sarat hutang dari kerajaan terdahulu.
Iklan
Iklan