Jho Low kini bersembunyi seperti tikus, kata Dr Mahathir
Iklan
AHLI perniagaan Malaysia Low Taek Jho perlu bersembunyi seperti tikus ketika ini, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, selepas ahli perniagaan kelahiran Pulau Pinang itu tidak hadir dalam pendakwaan di mahkamah Amerika Syarikat semalam.
Perdana menteri menegaskan bahawa sebelum tindakan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat semalam, Low, atau yang lebih dikenali sebagai Jho Low, adalah pelarian dunia yang hidup di atas kapal layar supernya, The Equanimity.
“Bukan Amerika Syarikat sahaja yang mahu dia, kami pun mahu dia juga,” kata Dr Mahathir hari ini.
Beliau menambah Malaysia mahu menahan Jho Low terlebih dahulu sebelum Jabatan Keadilan Amerika Syarikat menahannya.
“Kami ingin mencari dia terlebih dahulu, kerana kami mempunyai beberapa tuduhan terhadapnya,
“Mereka (DOJ) ingin mendapatkan Jho Low dan membicarakannya tetapi dia tidak dapat dicari. Kami tidak tahu di mana dia berada,” kata Dr Mahathir.
Bekas menteri kewangan Daim Zainuddin berkata dalam temu bual dengan Astro Awani semalam bahawa Low telah menghubungi beliau untuk membuat satu perjanjian.
Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan itu menolak tawaran itu dan mahu ahli perniagaan tersebut kembali ke sini untuk menghadapi perbicaraan ke atasnya.
Jho Low didakwa bersama dua bekas pegawai bank Goldman Sachs Tim Leissner dan Roger Ng Chong Hwa di mahkamah AS semalam.
Kesemua mereka dikatakan bersekongkol melakukan pengubahan wang haram berjumlah berbilion dolar dari 1MDB, dan memberi rasuah kepada ramai individu di Malaysia dan Abu Dhabi.
Leissner mengaku bersalah terhadap konspirasi untuk mengubah wang haram dan melanggar Akta Amalan Rasuah Asing, dan diperintahkan membayar ASD43.7 juta (RM182 juta).
Ng ditangkap di Kuala Lumpur semalam selepas Amerika Syarikat mengeluarkan waran tangkap terhadapnya. Beliau dijangka akan diekstradisi ke AS tidak lama lagi. – 2 November, 2018.