Tabung Harapan diguna untuk bayar hutang, kata PM
Iklan
WANG kutipan Tabung Harapan akan digunakan untuk membayar hutang Malaysia, kata Dr Mahathir Mohamad.
Selepas pembentangan Belanjawan 2019 hari ini, perdana menteri itu berkata wang tersebut akan digunakan secara berhemah untuk membayar hutang yang diwariskan pentadbiran Barisan Nasional terdahulu.
“Wang tersebut tidak ada matlamat tertentu untuk membantu kerajaan menyelesaikan masalah kewangan dan kami akan gunakannya sebaik mungkin,” katanya kepada wartawan di sidang media di Parlimen hari ini.
Tambahnya, kerajaan Pakatan Harapan komited untuk menyeimbangkan nisbah hutang dan pendapatan negara tetapi pada masa sekarang ia mustahil untuk dilakukan.
“Kami hendak seimbangkan buku kira-kira, tetapi kadang kala ia tidak boleh diseimbangkan.”
Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang membentangkan belanjawan hari ini yang berjumlah RM314.55 bilion.
Beberapa minggu lepas, Lim turut mengumumkan yang kutipan Tabung Harapan akan dihentikan pada 31 Disember depan. – 2 November, 2018.