Kampung Laut: Daripada lubuk PAS, kini kubu Amanah
Iklan
MOHD Nordin Adam sudah 33 tahun mengetuai PAS Cawangan Kampung Laut, Tumpat dan merupakan individu bertanggungjawab membawa naik Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob kepada kedudukannya sekarang.
Namun, kerana tidak berpuas hati dengan cara menteri besar itu mengendalikan beberapa isu khasnya projek Kampung Warisan, Nordin bersama kira-kira 50 ahli dan AJK PAS cawangan itu bertindak keluar parti.
Pengisytiharan pembubaran cawangan itu dibuat melalui mesyuarat agung PAS Cawangan Kampung Laut pada 15 Februari lalu melalui usul yang dikemukakan ketua Pemuda dan mendapat sokongan sebulat suara daripada semua ahli yang hadir.
Penduduk kampung yang terkenal dengan industri membuat serunding (sambal daging) dan dodol itu kemudiannya menyerahkan borang menyertai Amanah pada 9 Mac lalu.
Semuanya berpunca kerana hilang kepercayaan kepada PAS dan kerajaan negeri yang dipimpin Ahmad yang juga pesuruhjaya PAS Kelantan.
Bagi Nordin, yang memulakan kerjayanya sebagai pegawai di bawah Datuk Seri Najib Razak ketika menjadi pengerusi Majuternak dahulu, tindakan menteri besar yang tidak mengambil peduli masalah rakyat jauh berbeza dengan Nik Aziz Nik Mat dahulu.
“PAS di bawah Nik Aziz lain dengan Mat Yakob (Ahmad Yakob). Nik Aziz dekat dengan rakyat, Mat Yakob jauh daripada rakyat.
“Semasa Tok Guru menjadi menteri besar dulu, mana saja orang susah, beliau akan sampai, tetapi tidak berlaku sejak Mat Yakob mengambil alih,” kata Nordin kepada The Malaysian Insight ketika ditemui di rumahnya di Kampung Laut, Tumpat.
Nordin mula mengetuai PAS Cawangan Kampung Laut sejak 1983 dan pernah menjadi naib yang dipertua PAS Tumpat beberapa penggal sebelum Ahmad aktif dalam PAS.
Ahmad mula menjadi calon PAS dalam pilihan raya umum 1995.
Tindakan Nordin dan pengikutnya ini sekali gus memberi petanda terhakisnya sokongan kepada PAS Kelantan dan ia berlaku di jantung PAS iaitu kerusi Dewan Undangan Negeri Pasir Pekan yang diwakili pesuruhjaya PAS Kelantan.
Ini memandangkan Kampung Laut antara daerah mengundi terbesar di Pasir Pekan dengan lebih 3,000 pengundi kebanyakannya terlibat dalam industri kampung membuat serunding dan dodol.
Jika mereka menyokong PAS, bermakna parti Islam itu berpeluang menang dan jika undi mereka cenderung kepada Umno bermakna Barisan Nasional (BN) akan menang.
Ketika Dr Mahathir Mohamad melawat Kelantan pada 15 Mac lalu, beliau dibawa ke Kampung Laut dan ternyata sambutan penduduk kampung kepada bekas perdana menteri yang mentadbir negara selama 22 tahun itu amat hebat sekali.
Penduduk turun beramai-ramai meraikan kedatangan pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu.
Apa yang berlaku di Kampung Laut turut berlaku di kampung lain di Kelantan ekoran terhakisnya keyakinan terhadap kepimpinan PAS selepas perginya Nik Aziz.
Di Pasir Putih, para peniaga melahirkan rasa tidak puas hati dengan kerajaan negeri apabila diminta berpindah ke pasar baru yang tidak menepati keperluan mereka.
Ini menyebabkan kebanyakan peniaga yang asalnya penyokong Umno dan PAS mula menyertai Amanah selepas ia menunjukkan keprihatinan terhadap masalah mereka.
Penasihat Amanah Kelantan, Husam Musa antara yang bersungguh-sungguh memperjuangkan nasib peniaga di pasar itu.
Menurut seorang kakitangan sebuah hotel terkenal di Kota Bharu, penyokong utama Amanah terdiri daripada kalangan anak muda manakala orang tua masih cenderung kepada PAS.
Beliau turut mengakui, PAS kini sudah berubah selepas perginya Nik Aziz.
“Nik Aziz lebih fleksibel dalam pentadbirannya berbanding pemimpin PAS sekarang yang lebih suka menghukum,” katanya.
Menurut Timbalan Pengarah Biro Pilihan Raya Amanah Kelantan Khir Zahri Abdul Ghani, kekuatan partinya, PAS dan Umno kini hampir seimbang di Kelantan.
“Saya boleh sebut 30:30:30 antara Amanah, PAS dan BN di Kelantan. Jadi, 10% pengundi lagi bakal menjadi penentu siapa paling banyak mendapat kerusi di Kelantan,” kata Khir yang meramalkan Amanah berpeluang memperoleh sehingga 15 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan.
Menurutnya, ada 2 kemungkinan yang berlaku di Kelantan berdasarkan senario politik negeri itu sekarang.
“Pertama, 3 penjuru antara Pakatan Harapan (PH), PAS dan BN. Satu lagi kemungkinan adalah 2 penjuru antara PH dan BN menentang PAS.
“Bagi saya, peluang Amanah dan PH lebih baik di Kelantan jika berlaku pertandingan 2 penjuru saja iaitu PH dan BN melawan PAS,” kata Khir yang merupakan bekas setiausaha pilihan raya PAS Kelantan. – 1 April, 2017.