Iklan

Kumpulan anti rasuah selar pengisytiharan aset 'separuh jalan'

Looi Sue-Chern6 years ago3rd Nov 2018Berita
C4 centre pj tmikamal 03
Pengarah Eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Cynthia Gabriel menggesa Pakatan Harapan untuk lebih bersih terhadap janji mereka yang wakil rakyat dipilih akan mengisytiharkan semua aset.– Gambar fail The Malaysian Insight, 3 November, 2018
Iklan

IA sudah dijangka apabila ahli Kabinet dan ahli Parlimen kerajaan mengisytiharkan aset mereka buat pertama kali namun tidak telus dengan semua aset mereka menjadikan ia hanya “cubaan yang menyedihkan” untuk kelihatan telus, kata kumpulan anti rasuah.

Portal pengisytiharan aset Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya memaparkan pendapatan ahli Kabinet dan ahli Parlimen yang secara sukarela membuat pengisytiharan itu.

Maklumat itu tidak termasuk aset lain seperti hartanah atau kenderaan yang dimiliki.

“Ia bukanlah pengisytiharan aset,” kata Pengarah Eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Cynthia Gabriel.

Cynthia berkata, C4 kecewa dan menggesa Pakatan Harapan untuk lebih bersih terhadap janji mereka yang wakil rakyat dipilih akan mengisytiharkan semua aset mereka dan tidak menyembunyikannya.

Pengisytiharan pendapatan sahaja tidak mencukupi.

Cynthia berkata Menteri Kewangan Lim Guan Eng membuat pengisytiharan harta lebih terperinci ketika beliau menjadi ketua menteri Pulau Pinang.

Exco kerajaan negeri Pulau Pinang, termasuk ketua menteri, mengisytiharkan aset termasuk hartanah, kenderaan, saham, dan wang dalam akaun bank mereka.

“Pendapatan daripada dua bulan tidak akan menyatakan kekayaan sebenar ahli Parlimen. Kelemahan ini perlu diperbetulkan

“Kita telah lihat dalam skandal 1Malaysia Development Berhad dan skandal lain di seluruh dunia kebanyakan kekayaan mereka dipindahkan kepada pasangan dan anak-anak,” katanyaa dan menambah aset yang dimiliki ahli keluarga terdekat juga perlu disertakan.

Cynthia berkata ahli Parlimen mesti menunjukkan bahawa mereka tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan dan bersedia untuk melakukan ini untuk ketelusan dan akauntabiliti yang lebih baik.

Tidak salah untuk ahli Parlimen menjadi kaya, kerana sesetengahnya adalah profesional dan ahli perniagaan, katanya.

“Mengisytiharkan aset mereka akan menunjukkan mereka hadir dengan tahap terntentu (kekayaan) dan tidak menjadi kaya dengan dana awam ketika mereka berkhidmat. Itu tujuannya.”

Aset luar negara dan pecahan pendapatan

Presiden Aliran Dr Prema Devaraj juga berkata pendedahan itu tidak sepatutnya terhad kepada pendapatan bulanan atau elaun tetapi juga disertakan aset dan pelaburan sama ada dalam dan luar negara.

Beliau berkata pendedahan itu juga perlu dibuat setahun sekali bagi menunjukkan kekayaan telah terkumpul semasa tempoh jawatan seseorang.

Pendapatan wakil rakyat juga perlu dipecahkan untuk menunjukkan sumbernya yang berasingan, katanya.

“Adalah perlu untuk menyenaraikan gaji, elaun, yuran dan faedah menteri, ahli Parlimen dan wakil rakyat sebagai pengerusi atau pengarah entiti yang berkaitan dengan kerajaan.

“Idea di sebalik pengisytiharan aset oleh pegawai tinggi peringkat tinggi adalah untuk mencegah rasuah, pengubahan wang haram dan konflik kepentingan. Ini membolehkan ketelusan dan akauntabiliti,” kata Devaraj kepada The Malaysian Insight.

Devaraj berkata pertimbangan juga harus diberikan kepada sejauh mana semua maklumat mengenai kekayaan wakil rakyat akan diumumkan.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Mohd Shukri Abdull berkata “kami baru sahaja menyediakan platform itu untuk kerajaan” apabila ditanya mengapa portal berkenaan hanya menyediakan maklumat pendapatan bulanan dan bukan semua maklumat diisytiharkan.

Shukri juga dilaporkan berkata peruntukan baru untuk membuat kegagalan untuk mengisytiharkan aset kesalahan akan dimasukkan ke dalam Akta SPRM. Beliau berkata rang undang-undang itu mungkin akan dibentangkan di Parlimen April depan.

Sikap acuh tak acuh

Cynthia turut menyatakan “kebimbangannya” berhubung sikap “tidak apa” ahli Parlimen PH, yang tidak peduli untuk menghantar borang pengisytiharan aset mereka.

Katanya, ahli Parlimen terbabit menunjukkan mereka tidak mengambil serius arahan daripada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Kami memerlukan undang-undang untuk memaksa semua orang yang memegang dan menggunakan dana awam dalam garis kerja mereka (untuk mengisytiharkan aset mereka). Ini adalah jenis pembaharuan struktur yang kita perlukan.”

Beliau berkata, janji PR PH14 bahawa semua ahli Dewan Rakyat, Dewan Negara dan pegawai kerajaan menduduki ranking Jusa C dan ke atas, mesti mengisytiharkan pendapatan dan aset mereka adalah baik, tetapi lebih banyak perlu dilakukan untuk memaksa mereka yang berada dalam kedudukan kuasa untuk melalui amalan itu.

Setakat jam 10.40 malam tadi, portal pengisytiharan aset SPRM menunjukkan hanya 94 ahli Parlimen PH daripada 117 keseluruhannya membuat pengisytiharan.

Bagi Kabinet, hanya 44 menteri dan timbalan menteri, termasuk Dr Mahathir Mohamad mengisytiharkan aset mereka. Sebelas orang lagi tiada dalam senarai.

Menteri yang tiada dalam senarai pengisytharan aset adalah Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad, dan Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Md Yusof.

Timbalan menteri yang tiada dalam senarai adalah Kamaruddin Jaffar (Pengangkutan), Chong Chieng Jen (Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan), Dr Shahruddin Md Salleh (Wilayah Persekutuan). Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (Perumahan dan Kerajaan Tempatan), Shamsul Iskandar Md Akin (Industri Utama) dan Dr Md Rarid Rafk (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri).

Cynthia juga berkata Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) dan SPRM, yang mengendalikan pengisytiharan aset, perlu tampil menjelaskan sebab penangguhan pendedahan maklumat.

Penngisytiharan itu hanya dimuat naik pada 1 November di portal SPRM, selepas tarik untuk pengisytiharan itu terdahulu ditunda dari 1 Oktober kepada 15 Oktober. – 3 November, 2018

Iklan
Iklan