Iklan

Kit Siang terkejut sikap pembangkang ketika pembentangan belanjawan

Kamles Kumar6 years ago3rd Nov 2018Berita
Lim kit siang mahathir 211117 tmiseth 09
Lim Kit Siang menyatakan rasa hairan mengenai sikap pemimpin Umno yang masih menyokong pentadbiran kleptokratik lama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 November, 2018.
Iklan

PEMBANGKANG mengejutkan rakyat Malaysia dengan sikap mereka semasa pembentangan belanjawan sulung kerajaan Pakatan Harapan semalam, kata Lim Kit Siang.

Veteran DAP itu berkata beliau terkejut dengan sikap bekas perdana menteri Najib Razak yang tidak merasa malu untuk muncul dalam pembentangan belanjawan walaupun penglibatannya dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) didedahkan minggu ini.

“Najib berada di kerusi di Parlimen di sebelah Ahmad Zahid Hamidi (presiden Umno) seolah-olah tiada ada apa-apa yang luar biasa berlaku berikutan perkembangan terbaru skandal 1MDB.

“Sangat menyedihkan bahawa Perdana Menteri keenam Malaysia seolah-olah melepasi satu tahap di mana beliau tidak dapat membezakan antara yang benar dan salah, atau malu dengan rasuah dan kleptokrasi,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Minggu ini, Amerika Syarikat telah melakukan pendakwaan jenayah di mahkamah terhadap usahawan Low Taek Jho dan dua bekas pegawai bank Goldman Sachs kerana terlibat dalam 1MDB.

Lim menambah kejutan kedua ialah ketika ahli Parlimen pembangkang menyerang Menteri Kewangan Lim Guan Eng semasa pembentangan belanjawan.

“Kejutan kedua ialah apabila ahli Parlimen pembangkang melaung dan mengejek Guan Eng pada pembukaan ucapan belanjawannya, di mana beliau mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana menyelamatkan negara daripada kerajaan kleptokratik dan memuji rakyat kerana keberanian mereka untuk menggantikan kerajaan lama dengan yang baharu, pentadbiran bersih dan demokratik, “katanya.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu juga berkata beliau terkejut dengan tingkah laku pembangkang yang masih memberikan sokongan terhadap pentadbiran Najib walaupun ia sarat dengan rasuah.

“Negara kini diwakili ahli parlimen yang menyokong kerajaan baru yang komited membanteras rasuah dan pecah amanah yang berleluasa di bawah pimpinan Najib. Dan Pembangkang (sama ada UMNO, MCA, MIC) masih berterusan menyokong rejim kleptokrasi lama!,” kata Lim.

Low, yang lebih dikenali sebagai Jho Low, didakwa tanpa kehadirannya bersama bekas pengerusi Goldman Sachs Asia Tenggara, Tim Leissner dan bekas pengarahnya, Roger Ng, atas pelbagai pertuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan berbilion dolar AS daripada 1MDB.

Mereka juga dituduh bersekongkol melanggar Akta Amalan Rasuah Asing Amerika (FCPA), yang juga memperincikan dakwaan rasuah yang melibatkan pegawai-pegawai Malaysia dan Abu Dhabi.

Leissner mengaku bersalah atas dua pertuduhan bersekongkol untuk mengubah wang dan bersekongkol untuk melanggar FCPA dengan memberi rasuah kepada pegawai Malaysia dan Abu Dhabi yang menyaksikan ASD43.7 juta (RM182 juta) hilang akibat jenayah itu.

Polis Malaysia menangkap Ng semalam selepas waran dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat.

Keterangan paling dekat Najib sebagai “Malaysian Official # 1” (MO1) dilihat dalam dokumen pertuduhan yang difailkan DoJ terhadap Low dan dua bekas pegawai bank Goldman Sachs.

Bagaimanapaun, MO1 tidak disebutkan secara jelas, tetapi digambarkan sebagai “pegawai peringkat tertinggi dalam kerajaan Malaysia dan MOF (Kementerian Kewangan) sekitar tahun 2009 sehingga 2018 dan berkuasa untuk meluluskan keputusan perniagaan 1MDB”, kata pertuduhan itu oleh Mahkamah Daerah AS Daerah Timur New York. – 3 November, 2018.

Iklan
Iklan