Iklan

Azmin dahului Rafizi di Sabah, pemilihan di Keningau kacau

The Malaysian Insight6 years ago3rd Nov 2018Berita
Azmin-rafizi
Pemilihan PKR adalah pemilihan yang memakan masa paling lama dan kini pertembungan antara calon kem Azmin Ali dan Rafizi Ramli semakin sengit. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 November, 2018.
Iklan

MOHAMED Azmin Ali mendahului Rafizi Ramli dalam kiraan awal pemilihan PKR di Sabah, negeri yang dijangka jadi penentuan kedudukan jawatan timbalan presiden parti itu yang akan berakhir minggu depan.

Berdasarkan kiraan awal di 12 cabang yang mengundi hari ini, Azmin mengatasi Rafizi dengan 342 undi. Beliau meraih 5,115 undi sementara Rafizi mendapat 4,773 undi.

Setakat ini belum ada keputusan dari cabang Keningau, yang proses pemilihannya hari ini tercemar dengan insiden kekacauan selepas pihak jawatankuasa pemilihan melanjutkan tempoh pengundian.

Baki 13 daripada 25 cabang di Sabah akan mengundi esok.

Keputusan tidak rasmi yang dilihat The Malaysian Insight menunjukkan Rafizi yang disebut-sebut cukup berpengaruh di Sabah mengalahkan Azmin di cabang Kota Marudu, Kota Kinabalu, Batu Sapi, Tuaran dan Sipitang.

Azmin pula menang di Tawau, Kalabakan, Libaran, Sandakan, Sepanggar dan Beaufort. 

Cabang Tawau memberikan kelebihan yang besar untuk Azmin, mengatasi Rafizi di cabang itu dengan 545 undi. Kemenangan besar itu bagaimana diimbangi apabila Rafizi juga menang besar di Kota Marudu dengan 479 undi.

Kekacauan di Keningau meletus selepas kunjungan Rafizi ke pusat pengundian dan meminta pihak pengurusan menutup proses pengundian, kata timbalan pengerusi jawatankuasa pemilihan PKR Azman Hendra kepada The Malaysian Insight.

Rafizi turut mendakwa beliau diserang oleh ahli parti semasa hendak meninggalkan pusat pengundian itu. Beliau kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Keningau. Foto Rafizi di balai polis itu dimuat naik oleh penyokongnya ke Facebook.

Sebuah rakaman video insiden kekacauan itu juga tersebar melalui media sosial.

Laporan media sebelum ini memetik kajian Invoke, agensi kaji selidik kendalian Rafizi, membuat bacaan Azmin hanya akan menang di lapan cabang saja di Sabah.

Rafizi dilaporkan menguasai 12 cabang sementara lima cabang dianggap kelabu, boleh beralih kepada salah seorang daripada mereka.

Tanpa mengambil kira jumlah undi di Sabah hari ini, Azmin setakat minggu lepas mendahului Rafizi dengan 1,410 undi.

Selain 29 cabang yang akan mengundi di Sarawak pada Sabtu depan, tujuh cabang di tiga negeri akan mengadakan pemilihan semula pada 11 November ini.

Tujuh cabang itu ialah lima di Melaka (Alor Gajah, Masjid Tanah, Tangga Batu, Kota Melaka dan Jasin) dan masing-masing satu di Selangor (Kuala Selangor) dan Negeri Sembilan (Jelebu). – 3 November, 2018.

Iklan
Iklan