Saya jadi PM dua tahun saja, ulang Dr Mahathir
Iklan
PELAN peralihan kuasa di Putrajaya kekal tanpa apa-apa perubahan yang baharu, kata Dr Mahathir Mohamad, mengulangi ketetapan yang dimaklumkan sebelum ini bahawa beliau akan jadi perdana menteri hanya untuk tempoh dua tahun.
Kata Dr Mahathir, beliau tidak akan memegang jawatan itu lebih lama melainkan jika ada persetujuan daripada bakal penggantinya, Anwar Ibrahim.
“Tak ada (apa-apa yang) baharu. Saya dua tahun sahaja (pegang jawatan perdana menteri).
“Tak tahulah kalau dia (Anwar Ibrahim) bagi izin dua tahun setengah atau lebih,” kata Dr Mahathir pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Petaling, petang tadi.
Beliau juga dengan berseloroh menunjukkan seolah-olah ingin bertinju dengan Anwar.
“Saya mahu lawan dia tapi dia hanya senyum balik. Kami tiada masalah, media yang bermasalah,” katanya sambil tersenyum.
Anwar, 71, bakal menggantikan Dr Mahathir sebagai perdana menteri dalam masa dua tahun mengikut perjanjian antara parti-parti komponen PH.
Sebelum ini, Dr Mahathir berkali-kali mengulangi janjinya bahawa bakal presiden PKR itu akan menggantikan beliau sebagai perdana menteri sekalipun terdapat dakwaan yang mengatakan ada konspirasi untuk menghalang perkara itu berlaku.
Kedua-dua tokoh politik itu pernah menjadi musuh selepas Dr Mahathir memecat Anwar atas dakwaan salah guna kuasa dan liwat pada 1998. – 2 November, 2018.