Malaysia, AS akan dakwa Jho Low berasingan, kata Dr Mahathir
Iklan
MALAYSIA dan Amerika Syarikat (AS) akan mendakwa ahli perniagaan yang kini dikehendaki, Low Taek Jho secara berasingan, kata Dr Mahathir Mohamad.
“Kerjasama (antara Malaysia dan DoJ) sangat dekat. Kalau ada keperluan bagi kita mendakwanya bersama, kita kan lakukan. Tetapi buat masa ini pendakwaan adalah asing-asing,” perdana menteri memberitahu pemberita pada sidang akhbar di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya hari ini.
“Apa yang akan jadi masalah (kepada Low) dengan AS ialah pengubahan wang haram. Bagi kita, ia (mengenai) di mana duit 1MDB hilang.”
Menurut Dr Mahathir, Low yang didakwa menjadi dalang dalam skandal 1MDB tahu apa yang terjadi kepada wang syarikat pelaburan negara itu.
Samalah juga dengan bekas perdana menteri dan bekas menteri kewangan Najib Razak, isterinya Rosmah Mansor dan anak tirinya Reza Aziz, kata Dr Mahathir.
“Saya yakin, Najib, Rosmah dan Reza Aziz tahu di mana duit itu tetapi sudah tentu mereka tak akan cakap. Kita tunggu sampi mereka ubah fikiran.”
Low didakwa dengan lapan pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan BSI Bank di Singapura dan Switzerland antara Disember 2013 dan Jun 2014, tanpa kehadirannya oleh pihak berkuasa Malaysia pada Ogos.
Tiga pertuduhan adalah bagi menerima wang sebanyak kira-kira AS$261 juta dan lima lagi pertuduhan berhubung pemindahan wang sebanyak AS$196 juta.
Sementara itu, Jabatan Kehakiman AS (DoJ) mendakwa Low atas kesalahan bersubahat mengubah wang haram dan merasuah pegawai-pegawai asing bersama bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa.
Ng ditahan di Kuala Lumpur pada Khamis lalu dan akan diekstradisi ke AS.
Dr Mahathir juga berkata kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan skandal seperti 1MDB tidak akan berlaku lagi.
“Tak akan berlaku lagi. Apa yang Najib buat ialah tubuh satu syarikat yang tidak ditadbir mengikut peraturan kerajaan, kemudian pinjam RM42 bilion dan duit itu dicuri. Kita tak akan buat begitu lagi.” – 3 November, 2018.