Tiada layanan istimewa untuk penderma Majlis Makan Malam Pakatan
Iklan
MANA-MANA syarikat atau peniaga yang menderma untuk Majlis Makan Malam Pakatan Harapan 9 Disember ini tidak akan diberikan sebarang keistimewaan dalam pemberian kontrak kerajaan, kata Dr Mahathir Mohamad.
Tegas perdana menteri, mereka yang menderma untuk makan malam itu tidak harus mengharapkan layanan khas kerana semua kontrak kerajaan akan melalui proses tender.
“Bidaan (projek) mengikut sistem tender. Penderma-penderma tidak akan diberi layanan istimewa.
“Pihak yang membuat keputusan (memilih tender) juga tidak akan diberitahu siapa mereka. Tender akan diberikan berlandaskan tawaran yang terbaik,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Presiden Pakatan Harapan (PH) di Putrajaya, hari ini.
Dr Mahathir juga memberi jaminan kerajaan tidak akan terpengaruh dengan mana-mana syarikat atau peniaga yang menderma untuk majlis makan malam itu, yang diadakan bagi mengumpul dana untuk menguruskan PH.
“Parti politik perlukan dana. Tapi sekarang, kita tidak boleh kutip duit dan orang pun takut nak bagi duit sebab boleh dikatakan cuba bagi rasuah,” jelasnya.
Tambah beliau, majlis tersebut bakal diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Dalam pada itu, Dr Mahathir berpendapat Belanjawan 2019 yang dibentangkan semalam mendapat reaksi yang baik.
“Banyak berpendapat bajet ini adalah bajet yang kecil kerana kita hadapi masalah kewangan tapi kita dapat memperbesarkan bajet kita.
“Kita dapat bajet dari Petronas dengan penambahan dividen sebanyak RM30 bilion.
“Walaupun RM30 bilion banyak tapi hutang kita lebih RM1,000 bilion, bersamaan RM1 trilion,” katanya lagi. – 3 November, 2018.