Iklan

Nothing to Hide 2.0 tercemar, veteran politik kecewa tetapi tidak terkejut

nothing to hide 2.0 fracas nazir sufari
Ahli politik veteran berpendapat apa juga perselisihan pandangan dalam politik tidak seharusnya membawa kepada keganasan sebagaimana yang berlaku pada forum Nothing to Hide 2.0 hujung minggu lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Ogos, 2017.
Iklan

KEKACAUAN yang tercetus semasa forum Nothing to Hide 2.0 pada Ahad bukanlah sesuatu yang mengejutkan ahli politik veteran yang pernah melihat bermacam-macam kejadian sejak 1970-an.

Apa yang memeranjatkan bagi bekas pemimpin MCA Lee Hwa Beng sebaliknya ialah cubaan membaling objek yang disasarkan kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Saya tidak boleh ingat ada orang pernah membaling benda kepada perdana menteri atau bekas perdana menteri, terutama seorang tua yang berumur 92 tahun,” kata bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Subang Jaya itu.

Kata Lee, apa juga perselisihan pandangan dalam politik tidak seharusnya membawa kepada keganasan.

“Kalau ini tidak ditangani dari awal, ia boleh merebak menjadi lebih buruk, lebih ganas terutamanya menjelang pilihan raya,” katanya.

Dr Mahathir yang kini mengetuai Pakatan Harapan (PH) berada di pentas semasa forum itu berlangsung di Shah Alam. Beliau menjawab soalan-soalan yang ditanyakan kepadanya selama hampir sejam sebelum individu tidak dikenali bangun membaling selipar ke arahnya, diikuti botol air.

Keadaan jadi kelam-kabut apabila ada yang membaling kerusi ke tengah dewan dan kemudiannya melemparkan dua suar yang dinyalakan.

Namun ini bukan pertama bekas perdana menteri itu jadi sasaran keganasan. Pada Julai 2006, beliau diserang dengan penyembur lada oleh ahli perniagaan Nik Sapeia Nik Yusoff di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa, Kelantan.

Ahli perniagaan itu kemudian disabitkan kesalahan menyebabkan kecederaan dan dihukum penjara enam bulan oleh mahkamah majistret. Beliau bagaimanapun dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Tetapi politik Malaysia, biarpun tidak terpalit insiden keganasan seperti yang pernah disaksikan di beberapa negara membangun, bukanlah asing dengan perangai samseng, sama ada terhadap lawan politik atau dalam kalangan parti komponen pemerintah (lihat grafik).

Selepas pemecatan timbalan presiden Umno Anwar Ibrahim daripada kerajaan dan parti pada 1998, sekumpulan penyokong Pemuda Umno menyerbu Sri Perdana mendesak Dr Mahathir meletak jawatan.

Semasa kejadian itu, mereka membaling anggota Unit Simpanan Persekutuan dengan batu dan botol air mineral.

Dalam kejadian tidak lama dulu pada 2014, kumpulan yang dikepalai Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Mohd Razlan Mohd Rafil mengancam membakar ibu pejabat DAP di Pudu selepas menuduh parti itu menghina Umno.Menurut Dr Syed Husin Ali, beliau tahu pernah ada kejadian orang membaling batu tetapi tidak ingat apakah pernah ada insiden yang melibatkan suar.

“Apa yang berlaku pada Ahad sangat malang dan harus dikutuk,” kata bekas timbalan presiden PKR itu.

Tetapi beliau enggan merumuskan apakah kejadian ini satu trend baru dalam politik Malaysia.

“Masih terlalu awal untuk membuat rumusan berdasarkan satu kes. Secawan air dicurahkan ke laut, tidak mungkin laut jadi tawar,” kata tokoh berumur 81 tahun itu.

Bekas presiden Parti Rakyat Malaysia (1974-2003) dan pensyarah sosiologi di Universiti Malaya itu berkata ada banyak lagi isu mendesak yang memerlukan perhatian seperti rasuah dan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Penasihat DAP Lim Kit Siang, 76, kurang optimis dan yakin apa yang berlaku ini satu trend baru dalam politik “kekacauan dan keganasan”.

“Ya, ada kejadian yang tidak diingini misalnya apabila kami masuk ke kawasan kubut kuat atau kawasan yang tidak boleh dimasuki seperti tanah rancangan Felda tetapi belum pernah ada orang memukul saya,” katanya.

Lim Kit Siang daripada DAP yakin kekacauan pada forum Nothing to Hide 2.0 baru-baru ini trend baru dalam politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Ogos, 2017.

Apa yang membimbangkan Lim keganasan pada Ahad itu bukannya berlaku dalam kawasan “kubu kuat” Umno. “Ia terbuka kepada orang awam, itu yang lebih membimbangkan,” katanya.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata kejadian tersebut ada kaitan dengan kebimbangan Umno yang ia mungkin kalah dalam pilihan raya akan datang.

“Mereka fikir dengan masalah (Pakatan Harapan) dan PAS mereka boleh pecah undi dan ambil semula Selangor.

“Tetapi selepas barisan pimpinan PH diumumkan pada 14 Julai lepas, semua parti ini boleh berkerjasama. Dengan Amanah dan Bersatu berjaya menembusi pengundi di kawasan luar bandar, mereka kini bimbang,” kata Lim.

Tiga remaja yang menimbulkan kekecohan di forum itu ditahan reman sehingga Khamis sementara beberapa pemimpin PH menyalahkan Umno sebagai dalang.

Biarpun apa atau siapa yang menggerakkan remaja itu untuk membuat kacau masih tidak jelas, keganasan terhadap Dr Mahathir berlaku hanya beberapa minggu selepas serangan politik oleh pemimpin Umno termasuk Naib Presiden Ahmad Zahid Hamidi dan Azeez Rahim dalam mesyuarat bahagian Umno di serata negara.

Zahid membangkitkan soal darah keturunan Dr Mahathir serta menggesa bekas perdana menteri itu supaya duduk diam dan banyakkan berzikir, manakala Azeez dalam mesyuarat Bahagian Umno Baling mengungkit segala kesilapan bekas presiden partinya itu.

Menurut Lee, taktik seperti itu boleh menjadi “senjata makan tuan”.

“Saya fikir orang akan lebih simpati kepada Dr Mahathir.”

Ahli politik menyerang peribadi antara satu sama lain juga bukan sesuatu yang baru, kerana, inilah politik. Tetapi beliau menambah ada batas yang tidak harus dilangkau iaitu menghasut ke arah keganasan.

“Tidak ada salahnya mencerca satu sama lain tetapi ahli politik di kedua-dua belah pihak harus berhati-hati dengan kata-kata mereka supaya tidak menuai badai,” kata Lee. – 15 Ogos, 2017.

Iklan
Iklan