Tak banyak Pulau Pinang boleh harapkan dari Belanjawan 2019, kata KM
Iklan
TIDAK banyak yang Pulau Pinang boleh harapkan dari Putrajaya di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH), kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
Negeri yang sudah 10 tahun ditadbir DAP itu sekian lama mengakui dipinggirkan ketika kerajaan Barisan Nasional (BN) berkuasa dahulu. Bagaimanapun, selepas PH mengambil alih Putrajaya, tidak banyak peruntukan untuk Pulau Pinang dalam Belanjawan 2019.
Hendak kata beliau berpuas hati dengan belanjawan kali ini tidak juga, tetapi Chow sedar komitmen kerajaan Persekutuan memulihkan keadaan kewangan negara dalam tempoh tiga tahun lebih utama.
“Pulau Pinang kini diandaikan sebuah negeri maju. Selaras dengan perkembangan seimbang secara geografi, mereka kata Pulau Pinang tak perlu terlalu mengharap pada kerajaan Persekutuan dalam keadaan sekarang ini.
“Itu kami sedar. Kami akan terus beri manfaatkan perkongsian awam, swasta, profesional dan rakyat bagi melaksanakan projek tanpa banyak menggunakan dana awam,” Chow memberitahu pemberita hari ini.
Industri di Pulau Pinang kata beliau, sentiasa dipacu secara persendirian, dengan kerajaan negeri menyediakan tanah untuk pelabur bangunkan operasi mereka, pemberian insentif dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta sokongan dari perusahaan kecil dan sederhana kepada ekosistem.
“Kami akan mengalu-alukan inisiatif awam untuk bantu perkembangan Pulau Pinang. Kami sudah lakukan ini sejak bertahun-tahun. Tetapi sudah tentu kalau kami dapat dana Persekutuan, banyak lagi yang boleh kami lakukan. Kalau dapat sedikit, kami akan guna model PPP.” – 4 November, 2018.