Pakatan jangan harap dapat 40 ahli Parlimen Umno, kata Zahid
Iklan
PAKATAN Harapan (PH) hanya cuba mahu menggugat kestabilan dalam Umno dengan terus bercakap mengenai 40 ahli Parlimen Umno yang mahu menyertai pakatan itu, kata Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau menyifatkan pakatan yang mentadbir Putrajaya itu perlu mengasak dan cuba memecahbelahkan Umno kerana rakyat kini sudah mula sedar mereka memerlukan parti Melayu itu.
Selepas enam bulan memerintah, rakyat mula sedar mereka ditipu dengan janji-janji manis PH yang tidak ditunaikan dan kini Umno diperlukan untuk melindungi kepentingan mereka, kata Zahid.
“Mereka nampak Umno bangkit semula, bahawa kita masih parti yang kuat. Jadi mereka nak pecah belah Umno dari luar dan dalam,” kata Zahid di hadapan ahli-ahli Umno di Pulau Pinang hari ini.
“Aset terbesar Umno adalah ahli Parlimen dan Adunnya. Tiga ahli Parlimen dah keluar. Ini maknanya ada ‘helang’ sedang buru ahli Parlimen kita.
“Tiada jual beli. Walaupun ada 40 ahli Parlimen yang mahu lompat (parti), Umno dan BN hanya membuat keputusan bersama. Jangan cuba nak beli kami. Umno ada maruah.”
Ahli Majlis Tertinggi Bersatu A. Kadir Jasin baru-baru ini berkata seramai 40 ahli Parlimen Umno bersedia untuk menyertai Bersatu.
Kadir berkata kesemua mereka baru-baru ini mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang juga pengerusi Bersatu dan Presiden Muhyiddin Yassin.
Walaupun Zahid hanya menyebut tiga ahli Parlimen yang keluar Umno, namun jumlah sebenar ialah empat orang iaitu Ahli Parlimen Bagan Serai Noor Azmi Ghazali, Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin, Ahli Parlimen Jeli Mustapa Mohamed dan Ahli Parlimen Kimanis Anifah Aman.
Beberapa Adun di Perlis, Perak, Johor dan Sabah juga meninggalkan Umno sejak BN kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.
Bagaimanapun, Zahid tetap menegaskan PH tidak boleh menarik 40 ahli Parlimen Umno.
“Jangan nak kata, daripada 40 ahli Parlimen itu, Reezal Merican Naina Merican, Ismail Sabri Yaakob, Annuar Musa, Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Shabudin Yahaya mahu lompat parti? Jangan harap.
“Sudah pasti Ahmad Maslan, Mat GST tak akan lompat juga. Semua wartawan di sini, tolong tulis (dalam laporan). Mana 40 ahli Parlimen itu? (PH) Jangan harap mereka nak lompat,” kata Zahid.
“Saya yakin ahli Parlimen kita akan kekal bersama Umno dan Barisan Nasional untuk bentuk barisan pembangkang yang kuat.” – 4 November, 2018.