Azmin kini atasi Rafizi hampir 3,000 undi
Iklan
MOHAMED Azmin Ali kini mendahului Rafizi Ramli dengan hampir 3,000 undi dalam persaingan jawatan timbalan presiden PKR, selepas pemilihan parti itu masuk ke pusingan terakhir dengan hanya tinggal Sarawak yang akan mengundi minggu depan.
Azmin melebarkan jumlah undi mengatasi pencabarnya itu selepas menang selesa di Sabah, yang mengundi semalam dan hari ini.
Azmin mengatasi Rafizi di Sabah dengan 1,583 undi berdasarkan keputusan tidak rasmi di 24 cabang, kecuali Keningau yang proses pengundiannya semalam tercemar dengan kekecohan.
Selepas pengundian selesai di semua negeri – kecuali Sarawak minggu depan, Azmin kini mendahului Rafizi dengan 2,988 undi berdasarkan keputusan tidak rasmi.
Keputusan tidak rasmi di 24 cabang di Sabah semalam dan hari ini menunjukkan Azmin mendapat 9,555 undi manakala Rafizi meraih 8,427 undi, tidak termasuk undi dari Keningau.
Azmin menang di 15 cabang iaitu semalam di Tawau, Kalabakan, Libaran, Sandakan, Sepanggar dan Beaufort manakala hari ini di Kota Belud, Beluran, Putatan, Kudat, Papar, Silam, Ranau, Tenom dan Kinabatangan.
Rafizi mengatasi Azmin semalam di cabang Kota Marudu, Kota Kinabalu, Batu Sapi, Tuaran dan Sipitang manakala hari ini di Kimanis, Penampang, Semporna dan Pensiangan.
Rafizi menang besar di Pensiangan, cabang yang hari ini berdepan masalah semasa proses pengundian apabila kabel fiber bekalan internetnya dipotong dipercayai akibat sabotaj. Beliau mengatasi Azmin di Pensiangan dengan 563 undi.
Penyokong Azmin mendakwa berlaku penipuan di Pensiangan apabila proses pengundian dilanjutkan yang sepatutnya tamat pada 4.17 petang dilanjutkan walaupun selepas had masa tujuh jam daripada tempoh dibuka.
Semalam, cabang Tawau memberikan kelebihan besar 545 undi untuk Azmin, yang bagaimanapun diimbangi apabila Rafizi menang besar juga di Kota Marudu dengan 479 undi.
Keputusan Keningau masih tidak diketahui walaupun jawatankuasa pemilihan parti sebelum ini memaklumkan keputusannya akan diumumkan petang tadi.
Pemilihan di Keningau semalam kecoh selepas kunjungan Rafizi ke pusat pengundian itu dan meminta pihak pengurusan menutup proses pengundian yang didakwa dilanjutkan melebihi had masa, kata timbalan pengerusi jawatankuasa pemilihan PKR Azman Hendra kepada The Malaysian Insight.
Rafizi sebaliknya mendakwa kekecohan di Keningau berlaku kerana JPP memilih tempat yang tidak sesuai dan tidak dilengkapi kemudahan internet untuk dijadikan pusat pengundian. Sebuah rakaman video insiden kekacauan itu juga tersebar melalui media sosial.
Bekas Ahli Parlimen Pandan itu turut mendakwa beliau diserang oleh ahli parti semasa hendak meninggalkan pusat pengundian di Keningau semalam. Rafizi kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Keningau, dan foto beliau dimuat naik oleh penyokongnya ke Facebook.
Selain 29 cabang yang akan mengundi di Sarawak pada Sabtu depan, tujuh cabang di tiga negeri akan mengadakan pemilihan semula pada 11 November ini.
Tujuh cabang itu ialah lima di Melaka (Alor Gajah, Masjid Tanah, Tangga Batu, Kota Melaka dan Jasin) dan masing-masing satu di Selangor (Kuala Selangor) dan Negeri Sembilan (Jelebu). – 4 November, 2018.
MENYUSUL