Iklan

Syarikat pemaju, Rehda Pulau Pinang sumbang derma ke Tabung Harapan

Looi Sue-Chern6 years ago7th Nov 2018Berita
Chow Kon Yeow_Tabung Harapan_ David ST Loh
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan exco perumahan Jagdeep Singh Deo menerima replika cek sumbangan syarikat pemaju untuk didermakan ke Tabung Harapan Malaysia. – Gambar The Malaysian Insight oleh David ST Loh, 7 November, 2018.
Iklan

DUA syarikat pemaju utama Pulau Pinang dan Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah (Rehda) Pulau Pinang  mendermakan sebanyak RM455,172.50 kepada Tabung Harapan Malaysia.

Derma itu diserahkan kepada Ketua Menteri Chow Kon Yeow di pejabatnya di Komtar hari ini.

Selain sumbangan Rehda Pulau Penang sebanyak RM20,000, Ideal Property Group mendermakan sebanyak RM81,992.50 manakala Hunza Properties Bhd menyalurkan sumbangan berjumlah RM353,250.

Exco perumahan negeri Jagdeep Singh Deo berkata derma daripada dua syarikat pemaju itu merupakan yuran yang dikecualikan untuk transaksi hartanah yang ditandatangani semasa Pameran Hartanah Star dan Expo Hartanah Malaysia (Mapex) pada Julai tahun ini.

Katanya kerajaan Pulau Pinang meminta syarikat pemaju terlibat untuk mengecualikan yuran kelulusan sebanyak 1.5% bagi pembeli asing dan bayaran kelulusan 2% bagi pemilik hartanah yang menjual unit mereka dalam tempoh tiga tahun pembelian pada dua pameran hartanah itu.

“Ideal membuat tiga transaksi manakala Hunza melakukan empat transaksi. Kita memutuskan untuk mengecualikan yuran tersebut bagi memacu industri hartanah.

“Namun kerajaan negeri masih menetapkan bahawa pemaju perlu membayar kepada kerajaan, dan duit itu akan disumbangkan kepada Tabung Harapan Malaysia,” katanya pada sesi penyerahan replika cek hari ini.

Tabung Harapan kini mengumpul sebanyak M196.67 juta setakat pukul 3 petang pada 5 November.

Kutipan derma itu yang ditubuhkan oleh Pakatan Harapan pada 30 Mei membolehkan rakyat Malaysia untuk menderma bagi membantu negara membayar hutang negara sebanyak RM1 trilion dan tabung itu akan ditutup pada 31 Disember ini. – 7 November, 2018.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan