Iklan

3 pihak berkuasa siasat isu penyebaran Bible di Pulau Pinang

Looi Sue-Chern6 years ago7th Nov 2018Berita
mujahid 2018 tmi
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr. Mujahid Yusof Rawa mengesahkan berlakuknya penyebaran kitab Bible itu seperti yang tular di media sosial. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 November, 2018.
Iklan

JABATAN Hal Ehwal Agama Pulau Pinang, Jabatan Pendidikan Negeri dan polis sedang menjalankan siasatan berhubung kegiatan pengedaran kitab Bible di depan sebuah sekolah menengah di Bukit Mertajam baru-baru ini.

Exco hal ehwal agama Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata kerajaan negeri menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

“Saya ingin menegaskan bahawa Islam adalah agama rasmi Negeri Pulau Pinang sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

“Sebarang usaha untuk menimbulkan kekacauan dan suasana tidak tenteram dalam masyarakat yang berbilang bangsa dan agama adalah tidak wajar dan tiada ruang untuk bertolak ansur.

“Ini adalah bagi menjamin keharmonian hidup dalam suasana masyarakat yang beragam di Pulau Pinang,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut laporan Sinar Harian, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr. Mujahid Yusof Rawa mengesahkan berlakunya penyebaran kitab Bible itu seperti yang tular di media sosial.

Malah beliau berkata terdapat orang Melayu yang menerima kitab tersebut.

Katanya polis telah mengambil keterangan daripada pelajar dan staf sekolah itu, dan beliau masih menunggu maklumat lengkap berhubung perkara tersebut.

Bagaimanapun beliau berkata pihak gereja tidak terlibat dalam pengedaran kitab Bible itu di luar sekolah tersebut.

Mujahid menegaskan perkara ini perlu ditangani dengan teliti.

Isu agama amat sensitif di Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum dan amalan agama, dan Islam merupakan agama rasmi.

Adalah menjadi kesalahan jika wujud usaha menyebarkan ajaran lain kepada umat Islam di negara ini. – 7 November, 2018.

Iklan
Iklan