Goldman Sachs perlu pulangkan RM2.4 bilion kepada Malaysia, kata Guan Eng
Iklan
MENTERI Kewangan Lim Guan Eng meminta syarikat pelaburan Goldman Sachs membayar semula yuran sebanyak AS$588 juta (RM2.44 bilion) kepada Malaysia selepas menggunakan wang itu untuk meningkatkan nilai bon 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Goldman Sachs telah menaja jamin AS$6.5 bilion (RM27 bilion) bon untuk 1MDB dan memperoleh kira-kira AS$600 juta hasil perjanjian itu yang dimeterai dengan memberi rasuah kepada pegawai kerajaan manakala wang yang dicuri digubah secara haram dengan bantuan pihak bank itu.
“Goldman Sachs membuatkan kesalahan terhadap Malaysia. Saya fikir mereka perlu membayar semula yuran itu kepada Malaysia,” kata Lim pada taklimat khas Bajet 2019 di Pulau Pinang malam ini.
“Tapi adakah anda fikir jumlah itu mencukupi? Tidak! Goldman Sachs perlu membayar kerugian lain dan ia melebihi AS$588 juta.
“Anda perlu bayar balik semua kerugian bon AS$6.5 bilion. Berapa jumlahnya? Kita akan bincangkan,” katanya.
Lim turut berkata skandal 1MDB antara penyumbang hutang negara sebanyak RM1 trilion dan memetik laporan berita terbaharu mengenai kekecewan ketua eksekutif Goldman Sachs David Solomon berhubung bekas pekerjanya, Tim Leissner dan Roger Ng melanggar undang-undang dalam perjanjian dengan 1MDB.
Leissner mengaku bersalah atas pertuduhan rasuah dan penggubahan wang haram. Beliau diarahkan untuk membayar denda sebanyak AS$43.7 juta.
NG ditahan pada 1 November lalu dan polis Malaysia berkata beliau akan diekstradisi ke AS untuk berdepan pendakwaan di sana.
AS turut mengemukakan pendakwaan terhadap Low Taek Jho yang dikenali seabgai Jho Low, tetapi ahli perniagaan kelahiran Pulau Pinang itu masih lagi bersembunyi selepas dipercayai menjadi dalang dalam skandal tersebut.
Kali terakhir Jho Low dilihat berada di China tetapi dipercayai telah meninggalkan negara itu. – 7 November, 2018.