Maszlee dinasihat lepas jawatan di UIAM tetapi masih berdegil
Iklan
PAKATAN Harapan sudahpun meminta Dr Maszlee Malik meneliti semula keputusannya untuk menjadi presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), isu yang membangkitkan kecaman umum kepada menteri pendidikan itu kerana janji beliau memberikan autonomi pendidikan dan kebebasan daripada campur tangan politik di universiti.
Seorang sumber PH memberitahu The Malaysian Insight yang bekas pensyarah yang kini jadi politikus itu dinasihati pemimpin kanan dalam partinya, Bersatu dan parti lain dalam PH supaya melepaskan jawatan itu.
“Majlis PH, Kabinet dan perdana menteri semuanya sudah beritahu dia supaya melepaskan jawatan itu hampir sebulan lalu,” kata sumber.
“Mereka semua berpendapat yang Maszlee perlu memberi tumpuan kepada kerja utamanya selaku menteri pendidikan.”
Pelantikan Maszlee selaku presiden UIAM ketujuh pada September lepas membangkitkan kecaman awam dan bantahan daripada rakan politiknya dalam PH, kerana tindakan itu dianggap melanggar janji manifesto pilihan raya pakatan pemerintah.
PH berjanji untuk membebaskan universiti awam dan institusi pengajian tinggi daripada politik.
Sumber kedua PH turut mengesahkan yang Maszlee sudah dinasihatkan untuk melepaskan jawatan itu dan menyifatkan menteri itu sebagai “keras kepala”.
“Dia tak mahu lepaskan (jawatan) kerana dia rasa dia boleh tolong mereka (UIAM),” kata sumber.
“Kami masih memantau situasi dan belum bertindak mengarahkan dia melepaskan jawatan. Kami mahu dia buat keputusan sendiri.”
Pelantikan itu mengundang kecaman hebat aktivis pelajar, termasuklah beberapa mahasiswa UIAM yang melakukan bantahan terbuka mendesaknya berundur.
Tetapi Maszlee sehingga kini masih berdegil untuk terus memegang jawatan itu, malah mendakwa pelantikannya itu tidak melanggar manifesto PH.
Beliau turut menjelaskan yang pelantikan itu dibuat Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dengan perkenan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah.
Menteri itu turut berhujah yang Lembaga Pengarah UIAM tidak tertakluk kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971, maka kerana itu beliau tidak melanggar sebarang undang-undang.
Katanya lagi, presiden UIAM tidak mempunyai kuasa mutlak ke atas pentadbiran universiti.
Susulan pelantikan itu, UIAM dalam satu kenyataan berkata Maszlee adalah calon terbaik untuk jawatan itu kerana pernah mengajar dan mempengerusikan persatuan kakitangan akademik di universiti itu.
UIAM juga berkata Maszlee akan berkhidmat tanpa bayaran selama tiga penggal.
Maszlee yang kini berada di Jepun kerana menyertai lawatan rasmi perdana menteri tidak dapat dihubungi untuk penjelasan dan juga tidak membalas mesej dihantar The Malaysian Insight.
Awal minggu ini, Pegawai Khas Maszlee Wan Saiful Wan Jan meletak jawatan untuk memberi tumpuan kepada tugasnya selaku pengerusi Perbadanan Tabung Pinjaman Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). – 8 November, 2018.