Putrajaya pertimbang gubal undang-undang rampas aset meragukan
Iklan
KERAJAAN sedang mempertimbangkan untuk menggubal undang-undang serupa dengan Perintah Kekayaan Tidak Terjelas (Unexplained Wealth Order) diamalkan United Kingdom, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Perintah Kekayaan Tidak Terjelas adalah arahan dikeluarkan mahkamah untuk memaksa seseorang individu mendedahkan sumber kekayaan miliknya yang meragukan. Sekiranya mereka gagal menjustifikasikan sumber kekayaan itu, pihak berkuasa boleh merampasnya.
Perintah itu baharu sahaja dimaktubkan Januari tahun ini di bawah Akta Jenayah Kewangan UK 2017.
“Peguam negara sedang mengkaji perundangan ini yang akan membolehkan kerajaan merampas aset luar biasa atau tidak terjelas dimiliki oleh individu terkemuka, terutama sekali ahli politik,” kata Lim.
“Jika mereka tidak boleh menjelaskan bagaimana mereka boleh memiliki kekayaan tersebut, pihak berkuasa akan merampasnya. Itulah yang kita cuba buat sekarang.
“Seperti yang saya kata, ketika ini kita cuba menyelesaikan masalah kewangan negara, kita perlukan sumber perolehan.”
Lim berkata demikian ketika sesi soal jawab pada taklimat khas Belanjawan 2019 di Pulau Pinang malam tadi.
Beliau menjawab soalan berkaitan dengan rancangan kerajaan mengenakan 5% Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT) ke atas warga Malaysia yang menjual hartanah mereka yang dicadangkan dalam Belanjawan 2019 dibentangkan Jumaat lalu.
“Sebelum ini ada orang cadangkan kita kenakan cukai pewarisan. Tiada cukai pewarisan atau cukai keuntungan kapital. Jika ada cukai keuntungan kapital, beban akan jadi lebih berat.”
Lim turut menjelaskan yang sebelum pembentangan belanjawan Jumaat lepas, ada pihak bertanya kepadanya mengapa kerajaan tidak memperkenalkan cukai pewarisan selepas wujud spekulasi meluas yang ia akan diperkenalkan.
“Saya ditanya mengapa kami yang dikenakan cukai ini sedangkan yang curi duit ialah Jho Low dan sekutunya. ‘Kami pun mangsa. Mengapa kami perlu bayar lebih? Awak perlu dapatkan duit daripada mereka’.
“Jangan bimbang, kami akan dapatkan duit daripada mereka,” katanya merujuk kepada Low Taek Jho yang kini jadi buruan dan dituduh jadi dalang utama skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang menyebabkan Malaysia kehilangan berbilion ringgit.
Mengenai RPGT, Lim berkata wujud salam faham mengenai cukai itu yang kononnya akan dikenakan ke atas harga hartanah sedangkan yang dicadangkan adalah 5% ke atas keuntungan jualan hartanah yang dibuat.
Mengulas pandangan seorang peguam yang berkata ramai pemilik hartanah tidak menyimpan rekod terperinci mengenai kerja baik pulih yang dilakukan untuk meningkatkan nilai unit mereka, katanya kerajaan akan mengeluarkan satu formula bagi menangani isu tersebut untuk bersikap adil kepada pemilik hartanah. – 7 November, 2018.