Malaysia lepasi sasaran 30% wanita dalam jawatan pembuat keputusan
Iklan
MALAYSIA telah melepasi sasaran untuk wanita memegang 30% daripada jawatan pembuat keputusan dalam sektor awam.
Ketua Setiausaha Kementerian Luar Ramlan Ibrahim berkata pada masa ini 35.8% daripada jawatan berkenaan dipegang oleh wanita.
“Malaysia telah melepasi sasaran 30% itu dengan wanita memegang 35.8% jawatan pembuat keputusan dalam sektor awam,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaannya di Semakan Berkala Sejagat (UPR) Malaysia di hadapan Majlis Hak Asasi Manusia PBB di Geneva, Switzerland.
Menjawab kritikan bahawa Putrajaya meminggirkan wanita, Ramlan berkata terdapat inisatif untuk memperkasakan golongan terbabit, termasuk mengkaji semula dan mengemas kini Dasar Kebangsaan mengenai Wanita.
“Pada masa sama, di bawah Rancangan Malaysia ke-11, Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita telah diperkukuhkan.”
Kerajaan juga menjaga kebajikan kanak-kanak, dan ini jelas dalam langkah untuk menetapkan had umur perkahwinan pada 18 tahun berikutan beberapa kes perkahwinan bawah umur tahun ini.
“Kerajaan telah mengarahkan umur minimum untuk berkahwin ditetapkan pada 18 tahun,” kata Ramlan sambil menambah Putrajaya juga berminat untuk mengangani isu tiada kerakyatan terutamanya melibatkan kanak-kanak. – 8 November, 2018.