Amalan berkhatan wanita sebahagian dari budaya Malaysia, PBB diberitahu
Iklan
AMALAN berkhatan bagi wanita adalah sebahagian daripada budaya Malaysia, kata seorang pegawai kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Switzerland.
Wakil daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata, mutilasi alat kelamin wanita (FGM) tidak diamalkan di Malaysia tetapi berlaku untuk bayi kerana nilai budaya.
“Malaysia membantah sebarang amalan yang memberi kesan buruk kepada bayi perempuan dan kanak-kanak.
“Malaysia tidak mengamalkan mutilasi alat kelamin wanita, tetapi amalan berkhatan terhadap bayi perempuan dibenarkan kerana ia adalah sebahagian daripada kewajipan budaya,” katanya ketika menjawab soalan daripada beberapa negara ketika Universal Periodic Review (UPR) Malaysia di Switzerland.
Wakil terbabit menjawab pertanyaan daripada beberapa negara termasuk Paraguay yang mempersoalkan tentang status FGM di Malaysia.
Katanya, proses berkhatan dibuat ke atas bayi itu tidak memudaratkan.
“Jenis khatan yang diamalkan adalah sangat ringan dan tidak melibatkan sebarang pemotongan,” kata wakil berkenaan.
Kementerian Kesihatan Malaysia turut menggariskan panduan spesifik untuk proses berkhatan yang hanya dijalankan oleh pengamal perubatan profesional.
Bagaimanapun Jurucakap Gabungan NGO Malaysia dalam Proses UPR (Comango) di Geneva, Honey Tan menuduh pegawai berkenaan mengelirukan panel PBB dengan mengklasifikasikan berkhatan bagi perempuan sebagai sebahagian daripada budaya.
“Come on, lah! Malaysia tidak mengamalkan #FGM tetapi berkhatan perempuan sebagai sebahagian daripada amalan budaya?
“Sekiranya terdapat garis panduan, sekurang-kurangnya sekarang Malaysia tidak mengatakan bahawa ia adalah amalan agama,” kata peguam itu.
Di Malaysia, amalan berkhatan bagi wanita diamalkan masyarakat Islam di Malaysia yang mana kulit di bahagian atas faraj wanita digoreskan sahaja.
Pada 2012, Perhimpunan Agung PBB meluluskan resolusi yang menyifatkan ia sebagai pelanggaran hak asasi manusia dan menggesa semua negara mengharamkan amalan itu.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mentakrifkan FGM sebagai merangkumi semua prosedur yang melibatkan penyingkiran sebahagian atau keseluruhan luaran alat kelamin wanita, atau kecederaan lain kepada organ kelamin perempuan untuk sebab-sebab bukan perubatan. – 9 November, 2018