Iklan

Masyarakat sivil bantah pelan pembangunan Pulau Pinang

Looi Sue-Chern6 years ago9th Nov 2018Berita
Demo penang 1
Aktivis Penang Forum mengadakan bantahan di hadapan bangunan Dewan Undangan Negeri hari ini berhubung rancangan pembangunan kerajaan negeri. – Gambar The Malaysian Insight oleh David ST Loh, 9 November, 2018
Iklan

SEKUMPULAN aktivis mengadakan bantahan pagi ini terhadap rancangan kerajaan negeri untuk membina lebih banyak projek pembangunan di lereng bukit dan tanah yang ditambak.

“Selamatkan bukit kita, selamatkan laut kita, selamatkan Pulau Pinang,” kata kira-kira 30 wakil masyarakat sivil dan penduduk Pulau Pinang yang mengadakan bantahan di hadapan bangunan Dewan Undangan Negeri.

“CAT sudah mati,” laung mereka, merujuk kepada tagline popular kerajaan negeri Pulau Pinang CAT (kecekapan, akauntabiliti, ketelusan).

“Tolak tambakan laut, tolak pembangunan lereng bukit…” laung kumpulan terbabit ketika persidangan DUN sesi kedua bermula pagi ini dengan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dijadualkan membentangkan Bajet Pulau Pinang 2019.

Ini bukan kali pertama kumpulan berkenaan melakukan bantahan di luar Dewan. Pada sidang terakhir Ogos lalu, kumpulan yang sama turut mengadakan antahan di luar bangunan berkenaan.

Wakil Penang Forum, Khoo Salma Nasution berkata, rakyat tidak lagi mahu melihat bencana akibat perbuatan manusia berlaku selepas dua kejadian tanah runtuh yang menyebabkan 20 orang terbunuh sejak tahun lalu.

Pada 19 Oktober lalu, sembilan warga asing terbunuh dalam kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan jalan raya di Paya Terubong. Pada Oktober tahun lalu, tanah runtuh di tapak pembinaan kondominium di Tanjung Bungah menyebabkan 11 pekerja maut, termasuk seorang penyelia warga Malaysia.

“Kerajaan negeri tidak sepatutnya meneruskan projek yang mengancam kehidupan dan alam sekitar. Kami mahu semua Adun dalam Dewan menyuarakan isu ini.

“Adun perlu bersuara mengikut kata hati mereka. Setiap wakil rakyat tahu mengenai masalah ini. Kami sudah muak dengan pembangunan sebegini,” kata Salma.

Beliau juga berkata, Penang Forum membantah keputusan kerajaan negeri untuk meluluskan projek pembinaan dua buah hotel di Bukit Bendera.

Semalam, Chow dilaporkan berkata pentadbiran berpendirian untuk membenarkan Penang Hill Corporation (PHC) meneruskan rancangannya untuk membina dua buah hotel di Bukit Bendera. Kelulusan perancangan untuk projek berkenaan telah diberikan, katanya.

Salma berkata, masyarakat sivil pernah menyelamatkan Bukit Bendera pada awal 90an apabila kerajaan negeri yang diterajui Gerakan bercadang untuk membangunkan bukit itu dan membina hotel.

Kumpulan aktivis terbabit berazam akan meneruskan bantahan mereka sehingga suara mereka didengar oleh pemimpin negeri dengan mengadakan lebih banyak lagi demonstrasi pada masa akan datang. – Gambar The Malaysian Insight oleh David ST Loh, 9 November, 2018

Akibat kempen terhadap rancangan itu, bantahan dan kemarahan rakyat, ketua menteri ketika itu, Dr Lim Chong Eu tewas kerusi negeri pada pilihan raya umum 1990 dan bersara dari politik.

Salma berkata ketika Pulau Pinang dilanda ribut November tahun lalu, hampir 200 kejadian tanah runtuh berlaku di kawasan bukit berkenaan.

Ini sepatutnya menjadi petanda bukit berkenaan tidak sepatutnya dibangunkan, katanya.

“Mereka yang menyelamatkan Bukit Bendera pada ketika itu kini terfikir mengapa kita tidak mengambil iktibar. Kita kini menarah lereng bukit dan menambak laut untuk pembangunan.

“Draf Rancangan Struktur Negeri baharu akan membenarkan projek di lereng bukit pada kecerunan tidak melebihi 25 darjah. Kita akan menambak secara keseluruhannya 7,000 ekar.

“Daripada itu, 4,500 kaki persegi akan datang daripada tiga pulau. Ia akan menjadi seperti Forest City Johor. Siapa akan tinggal di sana?” katanya, merujuk kepada cadangan Tambakan Laut Pulau Pinang Selatan (PSR).

Penambakan PSR dibangkitkan untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang bernilai RM2 juta yang mencadangkan lebuh raya, bukit dan terowong bawah laut, sistem transit rel ringan dan lain-lain untuk mengatasi masalah lalu lintas negara yang semakin teruk.

“Ia seolah-olah mereka tidak pernah dengar tentang perubahan iklim,” kata Salma.

Beliau juga berkata, masyarakat sivil dan rakyat yang bimbang akan terus membantah pelan pembangunan dan akan menganjurkan lebih banyak demonstrasi.

Katanya, kerajaan negeri tidak boleh hanya berhujah bahawa projek seperti penambakan adalah perlu kerana Pulau Pinang kekurangan kawasan untuk dibangunkan.

“Adakah ia langkah bijak? Kita sepatutnya menggunakan tanah dengan lebih efisien.”

Salma juga berkata populasi Pulau Pinang tidak berkembang sebagaimana yang didakwa dalam draf Rancangan Struktur Pulau Pinang 2030.

Draf itu menunjukkan angka 2.45 juta orang, namun Salma berkata Jabatan Perangkaan menunjukkan angka yang lebih rendah.

“Kerajaan negeri menggunakan angka yang salah untuk mengesahkan rancangan pembangunan,” tambahnya. – 9 November, 2018

Iklan
Iklan