Iklan

Pulau Pinang akan teruskan Fasa Pertama PTMP 

Looi Sue-Chern6 years ago9th Nov 2018Berita
Cmlim tgbungah  pg dloh-4729
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo berkata penilaian impak sosial (SIA) sudah dijalankan oleh jabatan teknikal yang berkaitan untuk kelulusan persekutuan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 9 November, 2018
Iklan

FASA pertama Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) akan diteruskan, kata Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo kepada sidang Dewan Undangan Negeri hari ini. 

Projek bagi fasa pertama itu termasuklah Pan Island Link 1 (PIL1), sistem transit aliran ringan (LRT) yang menghubungkan George Town dan Bayan Lepas, dan jalan utama. 

Jagdeep berkata penilaian impak sosial (SIA) sudah dijalankan oleh jabatan teknikal yang berkaitan untuk kelulusan persekutuan.

Beliau turut memberi jaminan semua langkah pengurangan yang disyorkan akan dipatuhi ketika pembinaan projek terbabit. 

Beliau menjawab soalan lisan daripada Jason Ong Khan Lee (PH- Kebun Bunga), yang bertanya sama ada kerajaan negeri akan menjalankan SIA terhadap projek infrastruktur utama dalam PTMP. 

SIA merupakan keperluan yang perlu dipatuhi di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa berikutan pindaan. 

Pemimpin pembangkang Muhammad Yusoff Mohd Noor (BN-Sungai Dua) dalam soalan tambahan bertanya sama ada projek berkenaan akan diteruskan sekiranya mereka memberi impak sosial di kawasan terlibat seperti sekolah dan tanah perkuburan. 

Masyarakat sivil mengkritik projek PIL1 yang memberi kesan terhadap sembilan buah sekolah dalam pembinaan lebuh raya sepanjang 19.5 kilometer. Jajaran lebuh raya - dari Persiaran Gurney di utara ke Relau di selatan negeri berkenaan - juga akan melalui beberapa tanah perkuburan. 

Jagdeep tetap berpendirian bahawa projek berkenaan hanya akan diteruskan dengan kelulusan pihak berkuasa persekutuan, termasuk SIA. 

“SIA akan melihat kepada impak sosial dan isu yang timbul sebelum mengesyorkan langkah untuk mengurangkan impak. 

“Kami akan mengambil langkah untuk mengurangkan impak yang disebabkan projek berkenaan. Kami akan meneruskan projek itu,” katanya.

Projek jalan utama menjadi isu besar di Pulau Pinang dengan bantahan dibuat oleh kumpulan masyarakat sivil iaitu Penang Forum dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

Kebimbangan utama bagi projek berkenaan adalah alam sekitar dan impak sosial kepada Pulau Pinang dan penduduknya. 

Wakil kumpulan masyarakat sivil turut menyatakan pembinaan lebih banyak jalan raya tidak akan menyelesaikan masalah kesesakan trafik yang semakin teruk di negeri itu. – 9 November, 2018

Iklan
Iklan