Iklan

Perbezaan pandangan tidak halalkan keganasan, kata aktivis masyarakat

Sharon Tan7 years ago15th Aug 2017Berita
Iklan

KEGANASAN sama sekali tidak boleh diterima, kata pemimpin badan masyarakat dalam reaksi terhadap kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang menyalahkan “jawapan tidak memuaskan hati” Dr Mahathir Mohamad sebagai punca kekecohan semasa forum Nothing To Hide 2.0 pada Ahad.

Pengarah Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) Cynthia Gabriel menyifatkan kenyataan Hadi sebagai “kurang sopan” manakala Presiden Hakam Ambiga Sreenevasan berkata keganasan itu reaksi yang “tidak setimpal”.

Hadi hari ini berkata forum “Nothing to Hide 2.0” pada Ahad bertukar kecoh kerana jawapan Dr Mahathir berkenaan isu Memali yang membunuh seorang pemimpin PAS, tidak memuaskan. Hadi juga memuji individu yang mengemukakan soalan itu.

Ambiga bagaimanapun mempersoalkan logik kenyataan Hadi dengan mengatakan beliau tidak hadir pun dalam forum berkenaan.

“Pertama, agak janggal untuk Hadi membuat kenyataan seperti itu kerana beliau tidak ada di situ melihat apa punca kekecohan.

“Keduanya, dalam apa juga keadaan adakah mana-mana pemimpin akan merestui keganasan. Bertindak ganas kerana jawapan yang diberikan tidak memuaskan hati adalah satu reaksi yang sangat tidak setimpal. Adakah Hadi hendak mengatakan keganasan seperti ini boleh diterima?”

“Saya kira beliau cuba mempertahankan sesuatu yang tidak boleh dipertahankan.”

Cynthia sementara itu mempertahankan hak untuk berbeza pandangan.

“(Hadi) tidak dapat menerima bahawa pandangan dan pendapat yang berbeza sepatutnya digalakkan dalam masyarakat. Biar apapun, keganasan tidak boleh dibenarkan! Tidak boleh sama sekali!” katanya.

Anggota G25 Tawfik Islam dalam satu mesej khidmat pesanan ringkas menyatakan sebarang bentuk keganasan tidak boleh diterima.  

“Tidak boleh terima sebarang bentuk keganasan,” katanya.

Forum Nothing to Hide 2.0 anjuran Bersatu sepatutnya mempertemukan Dr Mahathir dan Perdana Menteri Najib Razak untuk berdebat mengenai isu berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad. Najib tidak hadir dan berada di Melaka merasmikan mesyuarat bahagian Umno di Melaka.

Forum itu sempat berlangsung selama sejam sebelum bertukar kecoh selepas individu yang tidak dikenali membaling kasut ke arah pentas tempat Dr Mahathir berucap. Mahathir ketika itu sedang menjawab soalan mengenai peristiwa Memali.

Peristiwa berdarah itu berlaku semasa Dr Mahathir jadi perdana menteri dan merupakan satu titik hitam dalam sejarah PAS apabila kehilangan seorang pemimpinnya Ibrahim Mahmud yang dikenali dengan nama Ibrahim Libya.

Allahyarham bersama 400 pengikutnya dikepung oleh 200 anggota polis di Kampung Memali di Baling, Kedah pada 19 November 1985. Ibrahim dan 13 pengikutnya serta empat anggota polis terbunuh.

Sementara itu, 51 pertubuhan aktivis masyarakat menandatangani satu kenyataan bersama mengecam kejadian di Shah Alam itu dan menyifatkannya sebagai sengaja dicetuskan dengan niat jahat mahu membungkam pandangan yang berbeza.

“Tindakan jahat politik samseng ini bertujuan untuk menakut-nakutkan pertembungan idea secara demokratik dan membungkam pandangan yang berbeza,” katanya mereka dalam kenyataan yang dikirimkan kepada media.

“Trend ini membimbangkan terutamanya menjelang pilihan raya umum.”

Pertubuhan masyarakat sivil itu menggariskan empat tuntutan termasuk menggesa rakyat yang cintakan keamanan tanpa mengira fahaman politik supaya mengecam dan menolak apa juga bentuk keganasan politik terhadap mana-mana individu atau pertubuhan.

Mereka juga menggesa parti politik supaya bertegas memberi ingatan kepada penyokong masing-masing untuk bertolak ansur serta mengambil langkah perlu melindungi keselamatan awam semasa rapat umum yang mereka anjurkan.

Mereka turut menggesa semua pihak bersikap matang dalam menyelesakan masalah dengan berbincang dan bukannya memilih jalan keganasan dan tidak bertamadun.

Mereka turut menyeru pihak berkuasa supaya menyegerakan siasatan dan mengheret dalang insiden ke muka pengadilan sebagai mesej tidak ada ruang untuk keganasan politik di negara ini.

Antara pertubuhan yang menandatangani kenyataan bersama itu termasuk Persatuan Bertindak Wanita (Awam), G25, Sisters in Islam (SIS), Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS), Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami),  Persatuan Aliran Kesedaran Negara (Aliran) dan Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (Proham).

Susulan kejadian pada Ahad, tiga remaja berumur 17, 18 dan 19 ditahan reman sehingga Khamis ini untuk membantu siasatan kerana merusuh dan menggunakan senjata berbahaya. Siasatan awal polis mendedahkan mereka dibayar RM50 untuk hadir ke forum tersebut.

Pemimpin Pakatan Harapan senada mengecam kejadian dan menuduh ia didalangi oleh Umno serta meminta Najib bertanggungjawab. Pemimpin Barisan Nasional sebaliknya mendakwa kejadian berlaku antara lain kerana Bersatu gagal menyediakan kawalan keselamatan yang mencukupi.

Setiausaha Akhbar Najib, Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad pula mendakwa kekecohan tercetus dalam forum itu kerana Dr Mahathir gagal menjawab soalan yang diajukan kepadanya.

Nada jawapannya itu kemudian dilaungkan semula oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang mengatakan hadirin forum itu marah kerana Dr Mahathir tidak dapat memberikan jawapan yang memuaskan hati tentang peristiwa Memali. – 15 Ogos, 2017.

Iklan
Iklan