Anak gesa PM pecat Isa dari SPAD
Iklan
KUMPULAN anak peneroka Felda menggesa Perdana Menteri Najib Razak memecat Isa Samad daripada jawatan Pemangku Pengerusi SPAD berkuatkuasa serta merta selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan bekas pengerusi Felda dan Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) itu petang tadi.
“Penahanan Isa membuktikan isu penyelewengan dan salah guna kuasa yang dibangkitkan ANAK selama ini berasas,” kata presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan(ANAK) Mazlan Aliman dalam satu kenyataan media.
“Sedari awal, Isa Samad memang tidak dialu alukan di SPAD; justeru, YAB Perdana Menteri harus bertegas ‘menyingkirkan’ Isa segera.”
Tambah beliau, penahanan SPRM itu juga menunjukkan tindakan Perdana Menteri melantik dan mengekalkan Isa sebagai Pengerusi Felda sejak 2011 hingga 2016 satu kesilapan besar.
Sambil mengalu-alukan tindakan SPRM itu, Mazlan berkata penahanan Isa penting kerana sejak memimpin Felda pada 2011, banyak masalah berlaku dalam agensi itu.
“Kita mengalu-alukan tindakan SPRM itu, sebagaimana yang saya sering cakap sebelum ini, pembelian hotel dilakukan FIC (Felda Investment Corporation) sejak awal lagi memang sudah bermasalah,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Anak bagaimanapun katanya sedih kerana masa yang begitu lama untuk menyelesaikan masalah di Felda sehingga hingga berbilion wang peneroka lesap dan kerosakan yang dialami amat dahsyat.
Isa ditahan SPRM sebentar tadi selepas memberikan keterangan di ibu pejabat agensi itu bermula 2.40 petang hari ini.
Penahanan Isa itu dikatakan berkaitan dengan siasatan SPRM terhadap pembelian dua hotel empat bintang di Kensington, London pada 2014.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Azam Baki, mengesahkan penahanan Isa dalam satu kenyataan kepada media.
Azam berkata, penahanan itu dilakukan hasil daripada keterangan yang dirakam pasukan penyiasat SPRM berhubung pembelian hotel itu sebelum ini.
“Justeru SPRM yakin mempunyai asas yang kukuh untuk membuat penahanan itu supaya dapat membantu melengkapkan siasatan kes tersebut,” katanya.
Mazlan bagaimanapun berharap, penahanan Isa itu sebagai satu permulaan untuk menyelesaikan banyak isu yang melanda Felda.
“Pelan pemulihan kepada permasalahan Felda mesti segera dilakukan. Saya harap pembersihan Felda tidak terhenti selepas penahanan tokoh itu.
“Sudah tentu yang paling penting sekali, kepentingan peneroka Felda yang selama ini terjejas akibat daripada permasalahan yang berlaku di dalam Felda terbela,” katanya.
Isa sebelum ini pernah disoal siasat berhubung urus niaga itu.
Beliau meletakkan jawatan dalam FGV sebelum dilantik sebagai pemangku pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dua bulan lalu.
Penasihat Jawatankuasa Bertindak Suara Generasi ke-2 Felda Zulkefli Nordin berharap SPRM akan membuat siasatan telus dan memastikan mereka yang bersalah dihadapkan ke muka pengadilan.
“Kita mengalu-alukan tindakan SPRM kerana tidak memilih bulu. Terbukti SPRM serius mahu membantu membersihkan Felda,” katanya. – 15 Ogos, 2017.