Iklan

Rundingan ECRL masih berjalan, kata Dr Mahathir

Kamles Kumar6 years ago9th Nov 2018Berita
Mahathir mohamad tmi 02 (1)
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata rundingan antara Malaysia dengan kontraktor dari China akan diteruskan sehingga mencapai persetujuan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 9 November, 2018.
Iklan

RUNDINGAN mengenai projek pembinaan Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) masih belum selesai, kata Dr Mahathir Mohamad.

Perdana menteri berkata rundingan antara Malaysia dengan kontraktor dari China akan diteruskan sehingga mencapai persetujuan.

“Ya, bukan senang nak berunding. Tetapi kita akan teruskan sehingga berjaya,” Dr Mahathir memberitahu pemberita selepas merasmikan Forum Ekonomi Cina Sedunia hari ini.

Bagaimanapun, pengerusi Pakatan Harpan (PH) itu tidak menyatakan bilakah rundingan itu perlu berakhir.

“Saya tak boleh nak kata, saya tak tahu perkembangannya,” kata beliau.

Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Daim Zainuddin berkata rundingan tersebut bersifat sensitif dan Malaysia mencari jalan untuk tidak menghampakan syarikat China yang menjalankan pembinaan projek bernilai RM80 bilion itu.

Bekas menteri kewangan itu dilantik sebagai wakil perdana menteri ke China pada Ogos bagi membincangkan masa depan projek tersebut.

Sementara itu, Dr Mahathir memuji masyarakat Cina di Malaysia yang membangunkan ekonomi negara ini sebagai ekonomi yang makmur.

“Malaysia amat menghargai sumbangan orang Cina kepada pembangunan Malaysia. Tanpa mereka banyak pembangunan akan sedikit ketinggalan,” kata Dr Mahathir dalam ucapannya.

Tambah beliau, masyarakat Cina adalah dinamik dan boleh berkembang sesuai dengan keprrluan semasa dalam dunia moden.

“Perubahan ini akan memberi keupayaan kepada orang Cina membuat penyelarasan terhadap pelbagai keadaan.

“Malaysia akan terus mendapat manfaat daripada perusahaan orang Cina,” kata perdana menteri.

Dr Mahathir sedang berusaha untuk memulihkan kepercayaan masyarakat Cina di negara ini selepas diabaikan oleh pentadbiran bekas perdana menteri Najib Razak.  – 9 November, 2018.

Iklan
Iklan