Buru lagi nama besar lain dalam Felda, kata kumpulan anti rasuah
Iklan
PENAHANAN Isa Samad mengejutkan kumpulan anti rasuah yang menyifatkannya sebagai “perkembangan yang luar biasa”.
Pengarah Eksekutif Pemantau Anti Rasuah (C4), Cynthia Gabriel turut mengucapkan tahniah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan berharap ramai lagi nama-nama besar akan ditahan tidak lama lagi berhubung penyelewengan dalam Felda.
“Kami mengesyorkan tribunal bebas khas untuk mendedahkan isu itu dan mengubah semula sistem tadbir urus Felda,” kata Cynthia.
Isa ditahan hari ini ketika memberi keterangan di ibu pejabat SPRM berhubung siasatan pembelian hotel di Kensington yang melebihi harga pasaran oleh Felda Investment Corporation beberapa tahun lalu.
Beliau merupakan pengerusi Felda Global Ventures sehinggalah meletakkan jawatan itu kira-kira dua bulan lalu.
Sementara itu, kumpulan pendesak Melayu Perkasa memuji SPRM kerana menentang rasuah.
Setiausaha agungnya Syed Hassan Syed Ali berkata Malaysia kini “terkenal di mata dunia kerana rasuah”.
Beliau berkata Perkasa sentiasa menyokong SPRM dalam usaha membanteras gejala itu.
“Bagaimanapun, kami berharap Isa bebas daripada sebarang tuduhan rasuah,” katanya. – 15 Ogos, 2017.