Maszlee pertahan keputusan lantik Wahid pengerusi UKM
Iklan
PELANTIKAN Abdul Wahid Omar sebagai pengerusi lembaga pengarah Universiti Kebangsaan Malaysia dilakukan berdasarkan kepada merit, kata Maszlee Malik.
Menteri pendidikan itu berkata pemilihan Wahid dilakukan menerusi prosedur ditetapkan dan perbincangan.
“Pelantikan itu dibuat berdasarkan kepada merit dan perbincangan sebelum ini. Ia juga dipersetujui oleh pihak atasan,” kata Maszlee pada sidang akhbar selepas majlis konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) hari ini.
Ahli Majlis Tertinggi Bersatu A Kadir Jasin mengecam Maszlee kerana melantik Wahid yang juga bekas pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan menteri dalam pentadbiran terdahulu.
Bagaimanapun, Maszlee mempertahankan pelantikan Wahid.
“Ramai pegawai sekarang daripada kerajaan dulu. Tidak kisah pun,” katanya.
Ahli Bersatu itu berkata pelantikan Wahid difikirkan dengan baik dan bukannya dibuat berdasarkan andaian saja.
“Apa yang Wahid buat? Untuk kata dia disingkirkan, itu andaian anda. Kita tidak buat keputusan berdasarkan andaian,” katanya.
Ahli Parlimen Simpang Rengam itu sering dikecam daripada ahli partinya sendiri dan masyarakat atas segala tindakan diambilnya sejak menjadi menteri. – 10 November, 2018.