Iklan

Wan Saiful mohon maaf tak tunai janji PTPTN

Yasmin Ramlan6 years ago10th Nov 2018Berita
Wan saiful ptptpn 101118 tmiseth 01
Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan pada ucapannya di Mesyuarat Agung Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung di Akademi Seni dan Warisan hari ini meminta maaf kerana kerajaan tidak dapat memberi pelepasan bayaran balik PTPTN. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 10 November, 2018.
Iklan

WAN Saiful Wan Jan mohon maaf kerana kerajaan tidak dapat menunaikan janji agar peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan gaji bawah RM4,000 diberi pelepasan bayaran.

Pengerusi PTPTN itu berkata beliau meminta maaf kerana beliau terlibat dalam merangka janji di dalam buku manifesto Pakatan Harapan (PH) tersebut.

“Saya nak buat permohonan maaf kepada rakyat kerana ramai yang tuntut kerajaan untuk tangguh bayar PTPTN kepada mereka yang berpendapatan bawah RM4,000.

“Saya telah berusaha berbulan-bulan memikirkan bagaimana nak laksanakan janji ini dengan bantuan daripada pengurusan daripada PTPTN.

“Tapi hari ni saya mohon maaf kerana janji ini tidak dapat saya tunaikan janji kerana sayalah yang tulis itu dalam buku PH, saya yang terlibat dalam mengarang buku Harapan janji itu.

“Memang saya yang tulis dan janji-janji lain juga. Jadi saya bertanggungjawab dalam hal ini,” katanya di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau menyampaikan ucapan di Mesyuarat Agung Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung di Akademi Seni dan Warisan.

Beliau yang juga bekas setiausaha politik menteri pendidikan berkata demikian atas kapasiti individu yang terlibat dalam merangka buku Harapan itu.

Wan Saiful berkata ketika ia dirangka, pihaknya tidak tahu bahawa hutang negara dan hutang PTPTN sebegitu besar sehingga jika PTPTN gagal membayar hutang masih berbaki hampir RM40 bilion ketika itu, maka hutang itu akan menjadi bebanan amat besar kepada negara secara keseluruhan.

“Saya harus sebutkan di sini, kutipan balik adalah mustahak untuk menjamin kesinambungan dana pelajar akan datang.

“Jika mereka yang meminjam asyik mahukan pelepasan sendiri saja, apa akan terjadi pada pendidikan anak-anak kita masa akan datang?,” soalnya.

Beliau turut mengulangi kata-kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bahawa kerajaan sedang cuba melaksanakan janji-janjinya, namun dalam usaha menyelamatkan negara, sudah hampir pasti ada janji yang tidak dapat ditunaikan kerana ada maklumat berlainan daripada yang diperoleh.

Katanya, sejak 21 tahun kewujudan PTPTN, tabung pendidikan itu membantu 2.9 juta pelajar dengan perbelanjaan sebanyak RM4.3 bilion. – 10 November, 2018.

Iklan
Iklan