Iklan

Putrajaya akan pinda akta universiti kolej, bukan mansuhkan

Kamles Kumar6 years ago10th Nov 2018Berita
International islamic university malaysia iium sept 11
Menteri Pendidikan Maszlee Malik berkata Kabinet bersetuju untuk meminda Seksyen 15(2)(c) Auku 1971 yang akan membenarkan penyertaan pelajar dalam aktiviti politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 November, 2018.
Iklan

PAKATAN Harapan akan meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971, bukan memansuhnya seperti dijanjikan sebelum ini dalam manifestonya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menteri Pendidikan Maszlee Malik berkata Kabinet bersetuju untuk meminda Seksyen 15(2)(c) akta itu yang akan membenarkan penyertaan pelajar dalam aktiviti politik.

“Kabinet bersetuju dengan pindaan terhadap undang-undang tertentu, Seksyen 15(2)(C) yang menghalang pelajar terbabit dalam aktiviti politik dan mencegah mereka menyertai persatuan politik,” katanya pada sidang akhbar selepas konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Bagaimanapun, Maszlee berkata ia akan bergantung pada universiti secara individu untuk membenarkan pembentukan parti politik di kampus.

“Itu satu cadangan tetapi kami tidak meminta mereka menubuhkan parti. Ada kebebasan untuk melakukannya.

“Ia terpulang kepada senat universiti. Mereka ada autonomi. Jika senat memutuskan ia tidak sesuai, maka ia tidak sesuai,” katanya.

Wakil rakyat Bersatu itu berkata pindaan kepada Auku akan dibentangkan di Parlimen pada sesi ini selepas tamat perbahasan bajet.

“Pindaan itu akan dibawa ke Parlimen selepas bajet. Kami mahu pinda undang-undang itu selaras dengan kerajaan menurunkan umur mengundi,” kata Maszlee, merujuk kepada hasrat Putrajaya menurunkan umur mengundi kepada 18 tahun, daripada 21. – 10 November, 2018.

Iklan
Iklan