Pemimpin tertinggi PKR tak bangkit isu lambakan ahli di Julau
Iklan
PEMIMPIN PKR di biro politik tidak membantah ketika keahlian di cabang Julau naik mendadak ke 13,000 awal tahun ini selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih Putrajaya, kata setiausaha agung parti Saifuddin Nasution Ismail.
Cabang di Sarawak itu berdepan masalah keahlian, ketika ahlinya mengundi bagi pemilihan parti tempatan dan pusat hari ini.
“Majlis kepimpinan pusat parti dan biro politik ada kuasa untuk meluluskan atau menolak permohonan keahlian.
“Siapa pemimpin dalam biro itu? Anwar Ibrahim, Dr Wan Azizah Wan Ismail, Azmin Ali, Nurul Izzah, Rafizi Ramli, Shamsul Iskandar, Zuraida, Sivarasa, Tian Chua, saya sendiri dan ramai lagi,” katanya, menamakan pemimpin tertinggi dari bakal presiden hingga naib presiden parti.
“Bukannya setiausaha agung yang luluskan ahli baharu. Setiausaha agung hanya keluarkan pekeliling.
“Kepada mereka yang kata itu ini, anda juga dalam biro politik. Kita luluskan keahlian itu bersama-sama.
“Ada juga tempoh masa untuk bantahan difailkan terhadap permohonan itu. Ada sebarang difailkan berhubung Julau sebelum tarikh akhir 17 Julai? Tiada.
“Tanpa bantahan, bagaimana kita hendak kaji 13,000 permohonan itu,” kata Saifuddin kepada wartawan selepas menghadiri majlis penyampaian hadiah SK Sungai Nibong di Pulau Pinang, hari ini.
Ulasannya itu dibuat susulan timbalan presiden parti Azmin Ali dilaporkan mengkritik kurang ketelusan dalam pemilihan parti yang sedang berlangsung, terutama di cabang Julau.
Cabang itu hanya ada 600 ahli selama ini tetapi keahliannya melonjak lebih 13,000 dalam tempoh sehari pada Jun.
Saifuddin berkata permohonan keahlian dari Julau diserahkan ke ibu pejabat parti pada 12 Jun sebelum tarikh akhir itu.
Beliau berkata peningkatan besar dalam keahlian cabang itu menunjukkan keahlian keseluruhan parti meningkat secara drastik selepas PH menang kuasa persekutuan pada 9 Mei.
Dari April 1999 hingga 9 Mei tahun ini, PKR mempunyai 560,000 ahli. Tetapi selepas kejayaan PRU14, keahlian PKR bertambah 400,000 setakat Jun.
“Keahlian meningkat lebih 900,000 dalam sebulan,” kata Saifuddin.
“Tetapi permohonan tertakluk kepada bantahan dalam tempoh dibenarkan. Jika mereka tahu seseorang itu tidak wujud atau sudah meninggal dunia, atau ada rekod jenayah, mereka boleh bantah.
“Selepas bantahan itu, keahlian parti sekarang 842,000,” katanya.
Saifuddin berkata memang betul Julau hanya ada 600 ahli, tetapi ia berubah selepas Larry Sng menang kerusi Parlimen itu pada 9 Mei.
“Beliau calon bebas yang melawan Joseph Salang, timbalan menteri dari BN, dan beliau menang. Sudah tentu Sng ada kekuatannya.
“Dan masyarakat Julau penduduk rumah panjang. Satu rumah panjang mungkin ada 30 atau hingga 100 keluarga. Satu keluarga ada lima orang, jadi maknanya 500 orang kongsi satu alamat.
“Selepas pilihan raya umum itu, Sng menyertai PKR dan membawa penyokongnya bersama. Kebanyakannya penduduk rumah panjang. Jika beliau tidak kenal mereka, sudah tentu beliau tidak menang kerusi itu,” katanya.
Dilaporkan, Sng pada masa ini disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia susulan tuduhan ada ahli hantu di cabang Julau. – 10 November, 2018.