Rafidah minta rakyat Malaysia jadi realistik
Iklan
MEMANG betul rakyat Malaysia perlu meletakkan jangkaan kepada Pakatan Harapan (PH) yang mereka undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), tetapi mereka harus bersikap realistik, kata bekas menteri Rafidah Aziz.
Rafidah berkata rakyat perlu menerima apa yang boleh dicapai memandangkan PH mengambil alih negara yang dalam keadaan teruk.
Ada perkara lain yang perlu kerajaan uruskan dahulu sekarang, seperti hutang negara yang mencecah RM1 trilion, katanya.
“Kita perlu berpuas hati yang kerajaan sedang cuba memastikan kita berada dalam keadaan yang stabil, dan memang pun,” kata Rafidah semasa sidang pleno mengenai kepimpinan pada “Nurture, Engage, eXchange (NEX) Leadership Conference” di Pulau Pinang petang tadi.
Rafidah yang merupakan bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri ditanya mengenai mesej yang beliau ingin sampaikan kepada rakyat Malaysia selepas PRU14.
Pilihan raya pada 9 Mei lepas itu menyaksikan Barisan Nasional (BN) dan Umno tumbang selepas 60 tahun berkuasa.
Beliau mahu rakyat Malaysia supaya jangan bimbang mengenai angka pertumbuhan kerana ia cukup baik selagi negara terus berkembang.
Malaysia katanya mencatatkan pertumbuhan negatif pada 1997 ketika krisis kewangan Asia.
perkongsian efektif antara kerajaan dan sektor swasta dan juga rakyat menyebabkan negara bangkit mencatatkan pertumbuhan positif dalam tempoh tidak sampai dua tahun.
“Itu yang kita mahu perlu buat sekarang. Beri sokongan pada kerajaan, Jangan hanya kritik sana , kritik sini.. kritik (Menteri Kewangan) Lim Guan Eng,” katanya. – 10 November, 2018.