Iklan

Anwar perlu main peranan sebagai perantara, kata ahli PKR

Kamles Kumar6 years ago12th Nov 2018Berita
Book launching syed husin by anwar  20180916 tmihasnoor 011
Anwar Ibrahim berdepan tugas untuk menyatukan semula ahli PKR selepas pemilihan parti itu berakhir. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 November, 2018.
Iklan

AHLI PKR menyifatkan pemilihan parti kali ini menunjukkan belang sebenar pemimpin yang terpalit dengan isu tuduhan liar dan saling menuding jari, sekali gus merosakkan imej parti yang baru memerintah selama enam bulan.

Antara tuduhan yang dilemparkan adalah isu politik wang, pengundi hantu, penggunaan alat penyekat sistem e-voting dan terbaru, penggodaman komputer tablet yang digunakan dalam pemilihan itu.

Selain itu, berlaku juga pertikaman lidah antara kem Rafizi Ramli dan Azmin Ali, dua pemimpin yang berebutkan jawatan timbalan presiden PKR.

Penyandang timbalan ketua pemuda Dr Afif Bahardin berkata imej parti telah rosak ditambah lagi dengan suara tidak puas hati terhadap PKR.

“Pada satu tahap, kita tidak bersikap sewajarnya,” kata Afif kepada The Malaysian Insight.

Afif yang bertanding untuk jawatan ketua pemuda berkata selepas sesi pemilihan, PKR perlu mengkaji semula dan mempertimbangkan pihak yang memimpin parti ini.

“Kita perlu menyelesaikan isu ini dari dalam. Sepatutnya ada pembaharuan terhadap pentadbiran parti ini.

“Cukuplah politiking yang sudah berlaku, kita perlu memastikan perkara ini selesai dan bergerak sebagai satu pasukan,” katanya.

Calon naib presiden PKR Tian Chua berkata parti itu akan berfungsi dengan baik jika calon yang tewas menerima hakikat mereka telah kalah dan tidak mencetuskan kekacauan dalam parti.

Dr Afif Bahardin mengulas tentang proses pemilihan PKR yang berakhir semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 November, 2018.

Bekas ahli Parlimen Batu yang merupakan kem Azmin berkata masalah akan timbul jika Rafizi tidak menerima kekalahan.

“Rafizi perlu menerima dengan terbuka kekalahannya dan menerima jawatan yang diberikan. Kemudian, tiada lagi masalah. Yang lain dilihat bersedia untuk bekerja bersama,” kata Chua.

Sementara itu, Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata pertelagahan seperti ini berlaku pada pemilihan parti sejak 2001.

Ahli Parlimen Setiwangsa itu berkata PKR membenarkan amalan ‘demokrasi matang’ supaya ada yang berani memberi pandangan bertentangan.

“Saya tahu ramai antara kita yang biasa kalah dan menang. Perbezaan tetap ada tetapi selalunya kita akan melupakannya.

“Orang tidak mahu membantah atau menyokong secara membuta tuli. Inilah sebabnya PKR memperjuangkan persaingan secara demokratik dengan konsep satu undi setiap seorang. Kita merupakan parti paling demokratik dan pelbagai kaum di negara ini,” kata Nik Nazmi.

Pemimpin berusia 36 tahun itu adalah sebahagian daripada pasukan Rafizi yang kini bertanding jawatan ahli Majlis Pimpinan Pusat selepas melepaskan jawatannya dalam Pemuda PKR.

Nik Nazmi juga berkata sistem e-voting yang digunakan dalam pemilihan parti perlu ditambah baik di masa depan untuk menghalangnya dimanipulasi.

“Proses pemilihan perlu ditambah baik, tetapi idea memelihara demokrasi dalam parti perlu dipertahankan walau apapun keadaannya.”

Ahli Parlimen Subang Wong Chen juga berkata pergeseran antara pemimpin PKR tidak akan berlanjutan dan parti itu akan kekal bersatu sebagai kumpulan politikus yang pragmatik.

“Alamiahnya, ahli politik adalah orang yang praktikal. Terutama sekali sekarang kami dalam kerajaan, kita perlu merapatkan diri berbanding jadi dua kem berbeza,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau, bagaimanapun menambah yang pemilihan parti bertukar buruk kerana ramai pemimpin mengintai peluang menjawat kedudukan dalam parti untuk mendapat jawatan menteri kerana Pakatan Harapan sudah berkuasa.

“Pemilihan ini luar biasa kerana ramai ahli politik fikir jika mereka ada jawatan dalam parti ia mustahak untuk berada dalam kerajaan,” kata Wong Chen.

Tugas mencabar untuk menyatukan parti kini terletak kepada Anwar kerana beliau adalah pemimpin yang disanjung semua pemimpin PKR yang bertelagah.

“Anwar ada tugas berat untuk pulihkan imej parti. Hanya dia mampu buatkan kedua-dua pasukan bekerja sama,” kata Afif.

Selepas pemilihan, isu utama untuk PKR adalah memastikan Anwar menjadi perdana menteri selepas Dr Mahathir Mohamad, kata Wong Chen.

“Pada akhirnya parti perlu bersatu di belakang Anwar. Itu adalah matlamat utama, menjadikan Anwar PM.”

Tian Chua berkata memenuhi matlamat itu mudah untuk Anwar kerana kedua-dua kumpulan menyanjungnya tetapi ia akan jadi lebih mudah jika mereka yang kalah menerima kekalahan dan tidak buat kacau.

“Ini tak pernah jadi isu untuk Anwar. Dia masih ketua kami. Semua kami sekarang perlu berbaik dan bergerak ke depan,” tambahnya. – 12 November, 2018.

Iklan
Iklan