Iklan

Wajibkan duda bayar nafkah anak, bekas isteri melalui bank, kata PGSM

Yasmin Ramlan6 years ago12th Nov 2018Berita
Child epa
Data NGO Sisters in Islam pada 2017 menunjukkan kira-kira 79% kes yang dibawa ke mahkamah melibatkan suami gagal atau membuat bayaran nafkah tidak mencukupi terhadap isteri. – Gambar EPA, 12 November, 2018.
Iklan

SETIAP duda patut diwajibkan membayar nafkah kepada bekas pasangan mereka melalui akaun bank untuk membolehkannya dipantau, kata Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).

Ia akan dapat memastikan bekas suami tidak memandang ringan pelanggaran perintah mahkamah ke atas tanggungjawab membayar nafkah selepas bercerai, kata Presiden PGSM Musa Awang.

“Isteri yang menuntut nafkah untuk dirinya atau untuk anak di mahkamah mesti menuntut bayaran nafkah yang dibayar melalui akaun banknya supaya ada bukti bayaran dan tiada transaksi tunai yang tidak berekod. 

“Jika tiada transaksi masuk dalam akaun isteri, maka dianggap suami tak bayar nafkah. Ia adil bagi kedua-dua belah pihak,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Katanya, Mahkamah Syariah juga boleh menetapkan tarikh pembayaran setiap bulan untuk duda berkenaan menyalurkan bayaran kepada bekas isteri.

PGSM mencadangkan demikian kepada kerajaan yang kini sedang memperincikan tindakan tegas ke atas bekas suami yang culas memberi nafkah kepada bekas isteri dan anak selepas perceraian.

Menteri Hal Ehwal Agama Mujahid Yusof Rawa pada Rabu lalu berkata antara perkara yang dipertimbangkan adalah sekatan bank terhadap bekas suami seperti itu.

Data NGO Sisters in Islam (SIS) menunjukkan pada 2017, kira-kira 79% kes yang dibawa ke mahkamah pada tahun itu melibatkan suami gagal atau membuat bayaran nafkah tidak mencukupi terhadap isteri. 

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang berkata kegagalan membayar nafkah kepada bekas isteri dan anak bukan hanya berlaku kepada golongan berpendapatan rendah tetapi juga mereka yang mempunyai pendapatan tinggi. – Gambar Facebook, 12 November, 2018.

Mengulas perkara itu, Musa berkata, kes yang berlarutan memberi tekanan kepada golongan janda yang perlu turun naik ke mahkamah untuk menuntut hak, dan dalam masa sama perlu mencari rezeki. 

Oleh itu, PGSM menyambut baik cadangan untuk menyekat akaun bank tersebut bagi bagi membela nasib golongan wanita, khususnya apabila Mahkamah Syariah sudahpun membuat keputusan, katanya.

“Cuma beberapa perkara perlu diperincikan terlebih dahulu terutama dari segi bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk mengarahkan sekatan bank bagi pembayaran nafkah,” kata Musa.  

Peguam itu menjelaskan, kerajaan juga boleh menguatkuasa undang-undang lain sedia ada seperti tahanan pendapatan atau arahan tetap untuk potongan gaji.

“Mahkamah yang mengeluarkan perintah nafkah, selain menetapkan amaun dan akaun bank perlu memain peranan dengan menetapkan tarikh akhir nafkah perlu dibayar, contohnya seperti sebelum setiap 20 haribulan supaya memudahkan semasa peringkat pelaksanaan perintah.

“Pihak bank hanya perlu menyemak kesahihan perintah tersebut dan semak akaun isteri yang digunakan untuk bayaran nafkah. 

“Jika betul belum ada rekod nafkah dimasukkan sehingga tarikh akhir pada bulan itu, maka pihak bank boleh membuat arahan debit daripada akaun suami untuk nafkah pada bulan itu dan dimasukkan ke akaun isteri, seperti tertakluk pada baki akaun yang sedia ada,” katanya. 

Beliau berkata, kegagalan melunaskan nafkah bekas isteri dan anak itu bukan hanya disebabkan faktor pendapatan rendah kerana terdapat juga golongan berpendapatan tinggi yang gagal menjalankan tanggungjawab itu.  

“Mereka culas bayar nafkah mungkin disebabkan mereka percaya penguatkuasaan Mahkamah Syariah adalah lemah, walaupun hakikatnya tidak begitu,” katanya. – 12 November, 2018.

Iklan
Iklan