Pemimpin Pemuda PKR rancang usul semak semula proses pemilihan parti
Iklan
DR AFIF Bahardin merancang usul untuk dibawa ke Kongres Nasional PKR yang bermula pada Jumaat, bagi menggesa parti itu mengkaji semula proses pemilihan yang berdepan masalah sejak pengundian bermula di Kedah dan Pulau Pinang pada September.
Penyandang jawatan timbalan ketua Pemuda PKR itu berkata, beliau dan beberapa pimpinan lain sudah berbincang bagi membentangkan usul itu untuk dipertimbangkan pimpinan pusat.
Katanya, parti perlu menyemak semula proses pengundian - untuk melihat sama ada konsep demokrasi langsung sekarang adalah apa yang ingin digunakan oleh PKR pada masa akan datang.
Konsep yang diguna pakai sekarang membenarkan semua anggota parti - lebih 842,000- untuk mengundi pada pemilihan parti bagi memilih pimpinan pusat dan negeri. Dalam parti politik lain, hanya perwakilan yang mengundi.
“Adakah konsep ini mencerminkan suara sebenar majoriti ahli PKR dan akar umbi?” kata Dr Afif.
“Saya rasa PKR perlu jujur dan adil dalam melihat semula perkara ini. Saya bimbang PKR akan berdepan masa yang sukar untuk meneruskan dan mempertahankan parti berbilang kaum ini, yang mewakili semua rakyat Malaysia.
“Kini sudah diketahui umum segelintir pengundi tidak pernah menyumbang kepada parti, walaupun mereka ahli PKR.
“Mereka tidak pernah berkempen untuk PKR pada pilihan raya umum, tetapi kini mereka mengundi untuk memilih pemimpin parti. Ini mendedahkan pemilihan parti kepada manipulasi,” katanya kepada pemberita di sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.
Dr Afif yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya berkata, reputasi PKR dalam kalangan rakyat suddah tercemar berikutan isu yang berlaku dalam pemilihan parti.
PKR memperkenalkan pengundian elektronik dalam pemilihannya buat pertama kali tahun ini, namun proses e-voting itu menghadapi masalah di seluruh pengundian yang diadakan dari negeri ke negeri.
Terdapat masalah teknikal, talian internet yang lemah dan juga dakwaan sistem digodam. Pengundian semula terpaksa dijalankan di beberapa negeri.
Terdapat juga dakwaan penyelewengan dalam keahlian parti dan daftar pemilih, seperti di cabang Julau Sarawak, yang mempunyai peningkatan keahlian mendadak dari 600 ahli kepada 13,000 ahli hanya pada Jun tahun ini.
PKR turut membenarkan ahli baru, yang baru menyertai parti baru-baru ini, untuk mengundi pada tahun ini. Sebelum ini, ahli tidak dibenarkan mengudi sekiranya mereka masih belum sekurang-kurangnya setahun bersama PKR.
Masalahnya kata Dr Afif, adalah dengan keseluruhan konsep, bukan hanya kepada e-voting.
“Pengundian langsung, proses pencalonan dan kelulusan keahlian ... semua ini adalah proses yang perlu dikaji semula.
“Kita adalah parti kerajaan sekarang. Bagi PKR untuk kekal relevan dan terus hidup, kita perlu memperbaharui proses pemilihan parti.
“Jika kita telah membuat kesilapan, kita mesti mengakuinya; dan bergerak ke depan dengan melakukan perkara yang betul,” katanya, sambil menambah bahawa ada konsep lain yang dapat dipelajari oleh parti untuk proses pemilihan dalamannya.
Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR (JPP) belum mengumumkan keputusan rasmi pemilihan parti hujung minggu lalu.
Namun keputusan tidak rasmi pada akhir pemilihan parti semalam meletakkan timbalan presiden yang bertanding, Mohamed Azmin Ali mendahului pencabarnya Rafizi Ramli untuk mengekalkan jawatan itu.
Calon-calon lain yang menyokong Azmin - Zuraida Kamaruddin, Chua Tian Chang (Tian Chua) dan Dr Xavier Jayakumar - juga mendahului undian untuk memenangi tiga daripada empat jawatan naib presiden. Dr Afif sendiri mendahului untuk memenangi jawatan Ketua Pemuda. – 12 November, 2018