Rasuah makin teruk di Malaysia, kata SPRM
Iklan
PARAS rasuah di Malaysia semakin teruk, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Shukri Abdull.
Beliau berkata demikian berdasarkan beberapa penunjuk antarabangsa, kaji selidik dan penyelidikan.
“Orang selalu tanya apa paras rasuah di sini. Biasanya tidak ada sesiapa yang mahu memberikan jawapan tepat. Pada saya, ia membimbangkan.
“Faktanya di sini. Ambil contoh Indeks Persepsi Rasuah, 2014 markah kita 52. Kita hampir tidak lulus, itu gred C,” katanya pada satu forum di Putrajaya hari ini.
Beliau memetik beberapa kaji selidik lain dijalankan oleh KPMG, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Barometer Rasuah Global di mana ia menunjukkan rasuah semakin teruk setiap tahun.
Shukri berkata skandal kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) juga meletakkan negara ini di peta rasuah dunia.
“Tahun lalu, kita dikenali di seluruh dunia sebagai negara kleptokratik. Kita tidak dikenali sebagai negara berintegriti. Ini amat memalukan,” katanya.
Beliau berkata ahli perniagaan dan pelajar juga bersetuju bahawa rasuah di Malaysia perkara normal dan ia menjadi amalan biasa yang diterima.
“Dalam kajian UKM terhadap persepsi pelajar tentang rasuah; 30% antara responden sanggup memberi rasuah jika ada keperluan untuk mendapatkan peluang,” kata Shukri.
Dalam Indeks Persepsi Rasuah tahun ini, badan pemantau rasuah Transparency International (TI) berkata Malaysia jatuh tujuh kedudukan ke tempat 62, menjadikan ia kedudukan terbawah sejak indeks itu bermula pada 1995. – 13 Oktober, 2018.
MENYUSUL