Iklan

Tiada masalah tanah gegai di Bukit Kukus, kata exco

Looi Sue-Chern6 years ago13th Nov 2018Berita
Bukit Kukus Bomba 2018
Tiada isu tanah gegai atau hakisan berlaku di Bukit Kukus, kawasan tragedi yang membunuh sembilan orang bulan lepas, kata Exco Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo. – Gambar Bomba, 13 November, 2018.
Iklan

TIDAK ada masalah tanah gegai atau hakisan dalam kejadian tanah runtuh Bukit Kukus bulan lepas yang membunuh sembilan orang pekerja asing, kata Exco Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo.

Beliau memberitahu Dewan Undangan Negeri pagi tadi yang tapak kejadian berlaku adalah jalan pembinaan untuk lori keluar masuk tapak projek jalan raya di Bukit Kukus itu.

“Isu tanah gegai tak timbul. Ia juga bukan isu cerun bukit curam.

“Jangan buat andaian. Jawatankuasa khas negeri masih menyiasat punca kejadian. Begitu juga agensi lain seperti DOSH (Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan) dan polis.

“Jika ada sesiapa gagal mematuhi garis panduan dan peraturan, tindakan tegas akan diambil. Kerajaan negeri akan pastikan (tindakan tegas diambil),” katanya menjawab soalan pembangkang Muhamad Yusoff Mohd Noor (BN-Sungai Dua).

Susulan kejadian bulan lepas, pakar tanah Habibah Lateh daripada Universiti Sains Malaysia melaporkan pemerhatiannya yang tanah gegai berpasir digunakan untuk projek jalan Bukit Kukus.

Tetapi jurutera perunding projek, GEA (M) Sdn Bhd berkata komen Habibah “tidak tepat” kerana beliau tidak mempunyai maklumat awal ujian dan matlamat kerja tapak tersebut.

Jagdeep juga menegaskan yang projek jalan raya Paya Terubong itu akan diteruskan walaupun berlaku tragedi maut itu kerana ia adalah projek infrastruktur untuk manfaat rakyat. – 13 November, 2018.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan